Friday 8 August 2014

Karya Kreatif

Pengenalan. Jika menulis merupakan suatu proses, tentulah beberapa tahap perlu dikuasai. Tahap yang paling tinggi ialah proses kreatif. Setiap hasil karya penulisan kreatif amat mengutamakan daya imaginasi dan kecerdasan akal untuk mengusik sensitiviti pembaca melalui penulisan yang dihasilkan. Bentuk Penulisan Kreatif Penulisan kreatif terbahagi kepada dua bentuk iaitu prosa dan puisi. Karya prosa ialah bentuk tulisan karangan biasa yang mengandungi jalinan fikiran pengarang, tiada pola rima dan tidak terikat dengan bentuk-bentuk tertentu seperti pantun dan syair. Penglahiran idea dalam prosa lazimnya berbentuk eksplisit secara naratif atau deskriptif ataupun kedua-duanya sekali. Contoh karangan berbentuk prosa ialah cerpen, novel, drama, autobiografi, kritikan, esei, catatan, jurnal, surat dan lain-lain. Karya puisi pula adalah dari jalinan fikiran pengarang yang digubah dengan bahasa yang indah, berirama dengan bentuk-bentuk yang tersendiri dan bahasanya tidak terikat dengan tatabahasa. Puisi ini dicipta untuk meluahkan perasaan atau maklumat tertentu. Contoh karya puisi ialah pantun, syair, gurindam, seloka, bahasa berirama dan sajak. Ciri-ciri penulisan puisi. Morfologi Sebarang pilihan kata untuk melahirkan idea, perasaan, atau buah fikiran perlu memberi kesan kepada khalayak. Oleh itu, pilihan diksi dalam karya kreatif perlulah indah, tepat dan jelas. Ketetapan pilihan diksi sesuai dengan perkara-perkara yang akan diolah. Contohnya, dalam menghasilkan puisi bertemakan perjuangan pilihan katanya ialah daya juang, semangat berkobar-kobar, patriotik dan lain-lain. Keindahan kata perlu pula merujuk kepada permainan bunyi, dialek, slanga, sinkof dan kata-kata pinjaman untuk menghidupkan lagi keceriaan idea. Contoh diksi yang indah ialah penggunaan perbandingan seperti gadis diibaratkan sebagai bunga, bulan - purnama, matahari - mentari, angin - bayu. Pilihan diksi juga bergantung kepada makna yang terkandung. Kejelasan makna merujuk kepada sesuatu benda atau situasi yang khusus iaitu konkrit yang dapat dikesan oleh deria atau abstrak. Sintaksis Binaan ayat penting untuk menyampaikan hasrat penulis. Ayat-ayat yang dibina perlu mempunyai kesatuan dan penegasan supaya ada hubungkait setiap idea. Kreativiti penulis banyak bergantung kepada pilihan ragam ayat, jenis ayat dan bentuk ayat. Contohnya, ada penulis yang suka menggunakan ayat songsang dan ragam menaik. Gaya Bahasa Setiap penulis menggunakan gaya bahasa tersendiri. Gaya bahasa ialah cara dan stail berbahasa untuk menyerlahkan adunan fikiran supaya karya yang dihasilkan ada gaya. Contohnya karya Shahnon Ahmad suka menggunakan kata dan ayat yang berulang-ulang manakala sajak Nahmar Jamil agak kaya dengan kata-kata daripada bahasa Arab. Pemerengganan Sesuatu idea yang dilahirkan perlu memperlihatakan kesatuan isi yang boleh membentuk satu aliran huraian yang logik dan sistematik supaya pembaca dapat mengikuti perkembangan sesuatu idea yang ingin disampaikan oleh penulis tersebut. Setiap idea itu berkaitan dalam perenggan-perenggan yang dibina supaya ada pertautan idea untuk melancarkan jalan cerita. Hal ini dapat memudahkan pembaca memahami keseluruhan karya. Tanpa pertautan yang kukuh idea dalam karya tersebut akan nampak terpisah-pisah dan tidak tersusun. Tema Penglahiran idea dalam karya kreatif perlu berfokus kepada persoalan pokok. Persoalan pokok itulah dinamakan tema. Tema dapat mengawal sesebuah karya kreatif supaya tidak terkeluar semasa memilih dan menyusun idea selanjutnya. Bentuk Bentuk-bentuk karya ditentukan oleh jenisnya. Contohnya, pantun ada ciri-ciri penulisannya yang terikat berbanding dengan sajak yang lebih bebas. Cerpen dan novel adalah agak sama bentuk. Perbezaan yang nyata hanya terletak pada bilangan perkataan, persoalan dan jalinan cerita . Sementara drama pula mengandungi babak, adegan dan dialog.

Thursday 15 May 2014

Kaedah P&P

Contoh Soalan Morfologi

Jawab dua soalan sahaja. 1.Kata atau perkataan terbentuk daripada satu morfem atau susunan beberapa morfem. Susunan morfem tersebut akan membentuk kata yang dikenali sebagai: i. Kata Tunggal ii. Kata Terbitan iii. Kata Majmuk iv. Kata Ganda a)Jelaskan apa yang dimaksudkan dengan kata tunggal, dan bincangkan jenis-jenis kata tunggal satu suku kata berdasarkan pola suku katanya. Penerangan anda perlu disertakan dengan contoh-contoh perkataan yang sesuai. ( 10 markah ) b)Kata terbitan ialah sebarang kata yang telah menerima imbuhan, sama ada awalan, apitan, sisipan, mahupun akhiran. Bincangkan fungsi imbuhan, dan nyatakan jenis-jenis imbuhan mengikut golongan kata yang terbentuk. ( 10 markah ) 2. Kata kerja boleh dibahagikan kepada 2 jenis berdasarkan bentuk ayatnya; iaitu Kata Kerja Transitif, dan Kata Kerja Tak Transitif. a)Jelaskan konsep kedua-dua jenis kata kerja tersebut berpandukan ayat-ayat yang di bawah sebagai contoh: i. Semua orang pulang. ii. Gadis itu tersenyum iii. Saya tinggal di Sungai Merab iv. Keadaan bapa beransur baik. v. Saya telah menjawab surat itu. vi. Ayah membesarkan rumah. ( 10 markah ) b)Kata Kerja Tak Transitif terbahagi kepada 2 jenis; iaitu Kata Kerja Tak Transitif Berpelengkap dan Kata Kerja Tak Transitif Tanpa Pelengkap. Huraikan konsep kedua-dua jenis kata kerja ini dengan memberikan 5 contoh ayat untuk setiap satu jenis kata kerja. (10 markah ) Kata Tugas terbahagi kepada 4 kelompok dasar berdasarkan fungsinya, sama ada di dalam frasa, atau di dalam ayat. Berdasarkan kelompok dasar tersebut terdapat pelbagai jenis kata yang mempunyai fungsi-fungsi yang berbeza. a)Huraikan 4 kelompok dasar Kata Tugas yang dimaksudkan itu, dari segi fungsi, dan penggunaannya ( 10 markah) b)Bincangkan fungsi dan penggunaan Kata Tugas dalam ayat berdasar 5 jenis Kata Sendi Nama yang anda pilih. Perbincangan perlu disertakan dengan contoh-contoh ayat yang sesuai. ( 10 markah )