Pengenalan
Pembelajaran bahasa sama ada Bahasa
Melayu atau Bahasa Inggeris di sekolah melibatkan pengajaran beberapa kemahiran
asas, iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Setiap pelajar
perlu menguasai kemahiran ini untuk memastikan mereka boleh mengikuti
pembelajaran yang seterusnya.
Namun demikian senario pendidikan
dari dulu sehingga sekarang masih lagi menunjukkan bahawa kemahiran-kemahiran
itu masih lagi gagal dikuasai oleh sebahagian pelajar walaupun sudah
menjejakkan kaki di sekolah menengah.
Penulisan ini akan membincangkan
bagaimana dan apa usaha yang guru lakukan untuk membantu murid-murid yang belum
menguasai sepenuhnya kemahiran membaca meskipun sudah lima tahun setengah
melalui pembelajaran di sekolah rendah. Beberapa aspek yang akan disentuh dalam
perbincangan ini adalah teor-teori pemerolehan bahasa, kaedah dan pendekatan
pengajaran serta beberapa perkara tentang pemilihan, penyesuaian dan penggunaan
alat/bahan bantu mengajar.
TEORI PEMEROLEHAN BAHASA
Berikut merupakan 3 daripada
beberapa teori-teori yang mengkhusus kepada pemerolehan bahasa yang pernah
dikemukakan, iaitu Teori Behaviouris, Mentalis dan Konstruktivis.
1. Teori Mentalis (pelopor –
Bloomfield, Edward Sapir, Fries, Boas dan Brooks)
Ahli psikologi yang turut berpegang
pada teori ini termasuklah B.F Skinner, Pavlov, Hull dan Thorndike. Golongan
mentalis berpendapat bahawa bahasa dikuasai melalui proses pengulangan. Oleh
yang demikian proses pengajaran bahasa haruslah menekankan latihan dan
pengulangan yang banyak.
Bagi meningkatkan kemahiran bahasa,
satu bentuk latihan mekanisme bersistem perlu dilakukan. Teori ini juga
mementingkan persekitaran murid untuk membantu proses pengajaran dan
pembelajaran. Hal ini termasuk pelakuan guru, kawan-kawan mereka sendiri serta
suasana dalam bilik darjah.
1.1 Kebaikan
Kebaikan-kebaikan teori ini ialah:
a. Proses pemerolehan/penguasaan
sesuatu bahasa adalah melalui latihan secara berulang-ulang. Oleh yang demikian
proses pengajaran bahasa dapat dilakukan secara lebih bersistem.
b. Mementingkan persekitaran murid
untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini termasuk pelakuan
guru, kawan-kawan mereka sendiri serta suasana dalam bilik darjah.
c. Menekankan aspek peneguhan. Ini
bermakna murid akan dapat mempelajari sesuatu bahasa dengan adanya ganjaran dan
peneguhan.
1.2 Kelemahan
Walaupun demikian terdapat beberapa
kelemahan teori ini iaitu:
a. Pembelajaran hanya berlaku
apabila murid menerima rangsangan dari luar, contohnya dalam bentuk penggunaan
bahan bantu mengajar. Ini bermakna dalam proses pengajaran dan pembelajaran,
guru perlu menghasilkan bahan-bahan bantu bagi membolehkan pengajaran dan
pembelajaran dilaksanakan.
b. Pembelajaran bahasa diperolehi
melalui ganjaran dan hukuman. Ini bermakna guru mesti bersama murid sepanjang
pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu pembelajaran bahasa sukar dijalankan
dengan menggunakan kaedah pembelajaran secara kendiri.
c. Pembelajaran ini kurang
menekankan aspek pembelajaran secara kendiri kerana ia lebih menekankan kepada
aspek pengukuhan, iaitu guru membimbing murid dalam proses pembelajaran mereka.
Ini bermakna murid mengharapkan bantuan daripada guru untuk belajar.
1.3 Pengaplikasian teori dalam kelas
bacaan
Dalam kelas bacaan, guru boleh
mengaplikasikan teori ini melalui latihan secara berulang-ulang. Ini bermakna
apabila mengajar kemahiran menyebut suku kata contohnya KV + KVK (LUSUH dan
lain-lain), guru akan meminta pelajar mengulangi sebutan bagi suku kata
tersebut beberapa kali mengikut sebutan yang betul seperti yang diajar.
Berkemungkinan kekerapan pengulangan itu bergantung kepada penguasaan pelajar
tersebut. Sekiranya budak itu cepat belajar, pengulangan adalah sedikit tetapi
jika sebaliknya, pengulangan adalah agak lama sesuai dengan kemahiran pelajar.
Setelah menguasai kemahiran menyebut suku kata, guru akan diperkenalkan dengan
perkataan-perkataan yang terbina daripada suku kata tadi. Seterusnya pelajar
diminta memberikan contoh perkataan yang terbina daripada suku kata tersebut.
Proses ini adalah berulang kali sehingga penguasaan terhadap kemahiran berlaku.
2. Teori Pembelajaran Mentalis
(Pelopor – Noam Chomsky)
Teori ini menekankan fungsi mental
seseorang manusia itu. Menurut Chomsky, kanak-kanak akan mengalami beberapa
peringkat perkembangan dalam pemikiran iaitu bermula dari peringkat terendah
deria motor, kemudian kepada pra-operasi, operasi konkrit dan operasi formal.
Sebagai contoh, dalam pembelajaran bahasa, kanak-kanak akan menguasai kemahiran
memahami terlebih dahulu sebelum mereka belajar bertutur.
2.1 Kebaikan
a. Menekankan kepada proses
perkembangan pemikiran kanak-kanak. Oleh itu pembelajaran bahasa akan diajar
secara berperingkat-peringkat mengikut kematangan murid berkenaan. Dengan itu
proses pembelajaran berlaku secara sistematik dan guru dapat mengawal kadar
kemajuan pembelajaran murid secara berperingkat-peringkat.
b. Menekankan kepada pembelajaran
mengikut kadar kendiri, di mana murid berpeluang belajar sesuatu pengetahuan
atau kemahiran berdasarkan minat, kebolehan dan tahap kognitif mereka sendiri.
c. Menekankan kaedah pengajaran
berpusatkan pelajar. Pengajaran berpusatkan pelajar bermaksud pelajar terlibat
secara aktif dalam aktiviti pembelajaran dan penggunaan bahan-bahan
pembelajaran berbanding guru. Oleh itu ia amat sesuai digunakan untuk mengajar
kemahiran berbahasa.
2.2 Kelemahan
a. Teori ini mementingkan kemahiran
tulisan, yang kemudiannya diikuti dengan kemahiran bacaan. Manakala kemahiran
lisan pula kurang diberikan perhatian. Ini akan menyebabkan sesetengah murid
hanya mahir menggunakan bahasa dalam tulisan dan bacaan, tetapi lemah dalam
lisan (mendengar dan bertutur).
2.3 Aplikasi dalam kelas bacaan
Guru yang mengaplikasikan teori ini
dalam pengajaran dan pembelajaran akan melakukan perancangan dengan membuat
pemeringkatan kemahiran. Ini bermakna, murid akan memperoleh sesuatu kemahiran
itu secara berperingkat-peringkat sesuai dengan kemahiran dan penguasaan
mereka. Kemahiran membaca akan dimulakan dengan kemahiran paling asas iaitu
mengenal suku kata, dan seterusnya kemahiran itu dipertingkatkan kesukarannya
sehinggalah murid berkenaan dapat membaca sebuah ayat yang lengkap. Sebagai
contoh, dalam pelaksanaan pengajaran ini, guru menetapkan 10 kriteria yang
perlu dikuasai oleh murid sebagai bukti mereka telah menguasai kemahiran
membaca yang telah ditetapkan. Pada pembelajaran pertama, guru mungkin
menetapkan dua kriteria yang perlu dicapai, kemudian dua lagi pada pembelajaran
akan datang dan begitulah seterusnya sehingga semua murid berjaya mencapai
kriteria tersebut.
3. Teori Konstruktivis
Berbeza dengan kedua-dua teori
terdahulu, Konstruktivis merupakan satu teori yang berpusatkan pelajar. Ini
bermakna pelajar adalah bergerak secara aktif untuk memastikan mereka dapat memahami
sesuatu topik yang diajar oleh guru. Teori ini mengetengahkan pendapat bahawa
pelajar mempelajari sesuatu itu berdasarkan pengalaman sedia ada mereka. Oleh
yang demikian, menurut teori ini, guru perlu menyediakan aktiviti yang sesuai
dengan pengalaman sedia ada pelajar serta dapat mengaitkan pengalaman itu
dengan pembelajaran yang bakal diajar. Pelajar pula hendaklah mampu
mempergunakan pengetahuan baru itu untuk kegunaan masa hadapan. Peranan guru
dalam kelas hanyalah sebagai pemudah cara, pemantau dan penggubal disiplin.
Pendekatan ini biasanya akan membuahkan hasil yang baik kerana pelajar akan
lebih memahami sesuatu perkara itu sekiranya dia terlibat secara aktif.
3.1 Kebaikan
a. Konstruktivis menekankan cara
belajar secara reflektif, iaitu mengaitkan pengalaman baru dengan pengetahuan
sedia ada murid supaya mereka dapat menggambarkan perkara yang diajar dan
memudahkan mereka untuk faham.
b. Teori pemerolehan bahasa ini
menekankan pembelajaran secara kendiri. Murid akan berusaha untuk memperkembangkan
kemahiran/pengetahuan mereka berdasarkan penerokaan dan penemuan hasil daripada
aktiviti penyelesaian masalah.
c. Pembelajaran bahasa melalui
Konstruktivis dapat memupuk semangat berdikari di kalangan murid. Oleh itu
mereka dapat menjalankan aktiviti pembelajaran meskipun tanpa kehadiran guru,
ataupun di luar waktu kelas.
3.2 Kelemahan
a. Guru tidak mengajar tetapi hanya
menyediakan bahan bantu yang boleh merangsang minda pelajar supaya dapat
mengaitkan aktiviti dan bahan bantu itu dengan pengalaman sedia ada mereka. Ini
menyebabkan guru terpaksa menyediakan pebagai bahan bantu sebelum dapat
melaksanakan pengajarannya.
b. Penekanan kepada andaian bahawa
murid mempunyai pengetahuan asas atau sedia ada tentang apa yang akan
dipelajari dalam pelajaran seterusnya adalah perkara utama dalam pendekatan
ini. Tetapi sekiranya andaian guru tidak tepat, berkemungkinan dia murid tidak
akan dapat mengikuti pembelajaran tersebut.
3.3 Aplikasi dalam kelas bacaan
Teori Konstruktivis menekankan cara
untuk mengaitkan pengajaran dengan pengetahuan sedia ada murid supaya mereka
dapat menggambarkan perkara yang diajar. Jadi, dalam pengajaran kemahiran
membaca bagi murid-murid yang dimaksudkan, aktiviti pencetusan idea murid akan
dilaksanakan terlebih dahulu sebelum guru menerangkan sesuatu konsep atau
mengajar kemahiran. Aktiviti pencetusan idea ini boleh dilakukan melalui
soal-jawab secara lisan antara guru dengan murid. Sebagai contoh, guru meminta
murid menyatakan apa yang telah mereka pelajari sebelum ini atau meminta mereka
membaca mengikut tahap kemahiran yang telah diajar dalam pelajaran lepas.
Melalui aktiviti ini, guru akan dapat mengesan pencapaian murid dan seterusnya
menyesuaikan pengetahuan tersebut dengan pembelajaran yang baru.
No comments:
Post a Comment