Wednesday 18 July 2012

Syair Rakan Seperjuangan IPG

Isteri Setia

Seorang wanita bernama isteri,
Berhati mulia berbudi tinggi,
Setiap masa memberi bakti,
Penat dan lelah korbankan diri.

Suami tercinta duduk di hati,
Melayan mesra panahan sakti,
Kasih dan sayang hambatan diri,
Marah suami tak ambil peduli.

Benihan suami pengikat raga,
Zuriat dikandung berbunga bangga,
Segala perih diluput mega,
Sabar dan setia menunggu siaga.

Anak dan suami pemangkin rasa,
Tak sedar hati edaran masa,
Luka dan guris disimpan sasa,
Membesar anak penuh berjasa.

Panorama alam turut ceria,
Meraikan bersama hati yang ria,
Tampak gembira wajah sidia,
Mengharum nama isteri setia.


Bahaya Fitnah

Sejarah Melayu teladan utama,
Bahaya fitnah sudah menjelma,
Si Kitol, Mendeliar turut sama,
Difitnah Bendahara busuklah nama.

Puteri Mahsuri menjadi legenda,
Akibat fitnah datang melanda,
Menagih simpati berkocak dada,
Dara putih menjadilah tanda.
Sejarah lama berulang kembali,
Lupa manusia akibat lali,

Ketinggian budi sudah dibeli,
Menggadai maruah bukan sekali.
Ingatlah manusia akan fitnah,
Banyak negara sudah musnah,

Ingatlah diri dari tanah,
Banyak fitnah umpama nanah.
Sejarah tidak menipu kita,
Peganglah janji pada kata,

Supaya tidak hidup melata,
Jalanlah tinggi menjadi rata.
Fitnah tidak diluput masa,
Bertakhta dalam jiwa yang sasa,

Berwaspada beringat jaga sentiasa,
Agar tidaklah musnah bangsa.
Martabat Ilmu


Kisah Teladan Musa dan Khidir

Kisah Musa dan juga Khidir,
Kisah teladan bukan menyindir,
Bukan menentu siapa Pandir,
Cuma menyubur hati yang hadir.

Musa disoal oleh umat,
Siapakah bijak penuh maklumat,
Musa menjawab penuh tersemat,
Mengaku diri terlebih amat.

Ditempelak Allah penunjuk diri,
Jangan mengaku diri sendiri,
Jangan memilih jalan yang kiri,
Lihat kewujudan dalam nafiri.

Khidir diangkat menjadi guru,
Mengembara mereka seolah berburu,
Dipesan Khidir jangan terburu,
Jangan dihirau segala seru.

Musa terbilang sebagai rasul,
Kapal dilubang membuat sasul,
Hairan Musa semakin masyghul,
Dipesan Khidir jangan berusul.

Takjub dan hairan semakin menyerang,
Melihat bayi dibunuh kepalang,
Tindakan dilihat tidak beralang,
Hatinya risau semakin walang.

Sabar menjadi semakin nipis,
Bantuan diminta semua ditepis,
Khidir menunjuk muka yang manis,
Mendiri Kota menjadi tragis.

Masa berpisah sudahlah tiba,
Ilmu diberi tiadalah laba,
Sukar ditafsir segala dicuba,
Dijawab Khidir seakan tertuba.

Kapal dirosak bukan sengaja,
Takut dirampas kezaliman raja,
Semua menjadi ujian sahaja,
Terselamat Si Miskin pedaya raja.

Bayi dibunuh bukannya alpa,
Menyelamatkan iman ibu dan bapa,
Kecil menjadi idaman betapa,

Besar membawa kekufuran nestapa.
Manusia dinilai bukan luaran,
Layanan kasar bukan dihairan,
Memelihara harta menjadi sandaran,

Agar Si Yatim tidak kebuluran.
Faham Musa hakikat ilmu,
Semakin ada tidak bertemu,
Merendah diri janganlah jemu,
Anggaplah diri sebagai tetamu.

3 comments:

  1. Syair yang menyentuh hati.
    Teruskan usaha

    ReplyDelete
  2. nasihat yang berguna dalam syair ini....
    perbanyakkan lagi perkongsian ilmu

    ReplyDelete
  3. Syair yang menyentuh hati.
    Teruskan usaha

    ReplyDelete