Saturday 28 July 2012

CERPEN NUKILAN SAYA

Derita Sesudah Bahagia
Hj. Abdul Rani Bin Hassan

I

Mata yang bersinar telah lama terlelap. Aduhai! Mata kenapa kau terlalu cepat meninggalkan keindahannya. Alangkah indahnya mata itu. Tapi sayang pada kebahagian ijabkabul hari ini kau terlalu cepat menutup kelopak mu.

Di renung pula seulas bibir merah yang terkatup rapat rapat pada malam yang kediginan itu. Diperhatikan pula hidung yang mancung bak seludang kelapa beriak-riak kecil dari hembusan nafas yang keluar secara teratur.

Angin janganlah kau menampar-nampar diri. Hentikan sindiranmu. Hati sabarlah dikau bukankah ia sudah menjadi milik mu. Jiwa dapatlah kau bertenang janganlah kau terdorong oleh nafsumu. Sabarlah.

Jangankau turut ikut kata teman-teman mu yang masih belum faham apakah hakikat perkahwinan itu. Kau perlu tau perkahwinan itu bukan penyudah nafsu. Tapi itu hanya salah satu yang kecil sahaja dari perkahwinan itu.

Damaikanlah segala perasaan diri pada malam pertama ini. Kau perlu tau bukan bererti malam pertama itu kau terpaksa berjuang dalam kenakalan mu. Bukankah ia sudah sah bagi mu. Tenanglah jiwa ku tenanglah. Pandanglah pagi esok sebagai bermulalah taraf mu tidak bujang lagi tapi kau sekarang sudah bergelar suami. Ya! Sebagai seorang suami.

II

Ingat lagikah dikau hai sang awan. Bertapa rumitnya indin ku mengayam mengkuang menjadi tikar. Tiap-tiap kali ku anyam ia pasti terlerai. Aku tidak pandai bermadah yang indah indah yang membolehkan bulan tertidur diribaan matahari. Aku juga tidak pandai mengulung kata-kata yang dapat ku lampirkan melalui warkah-warkah biru. 

 Tapi aku adalah seperti sang ombak yang tidak malu-malu memukul pantai walaupun walaupun pandai tidak bersatu dan seringkali ombak terlerai di pergigian pantai. Tapi bukankah ombak tidak tahu akan erti kepenatan dan kejemuan.

Bulan dan bintang pasti menjadi pengganti pada malam hari bagi menghilang rindu yang datang menyesak dada. Bulan dan bintang melambangkan kedamaian hati. Maka terubatlah hati yang rindu.

Raiha begitulah namanya yang mula-mula ku ketahui. Itu pun dari teman-teman rapatnya. Semenjak pertemuan ku yang pertama disatu majlis hari jadi teman ku telah membuat diri ku menjadi pemburu. Aku memburu cinta setiap masa. Setiap petang selesai saja kerja ku di pejabat akan ku pandu kereta menuju ke pusat pengajian tinggi. Di mana Raiha masih meneruskan pengajiannya.

Dari pemburuan ku tahulah aku yang Raiha anak dari golongan yang mewah. Itu tidak akan menjadi masalah bagi diri ku. Diri ku sendiri tidak kurang dalam perkara itu. Kalau dipandang dari segi darjat memang kami duduk sama rendah berdiri sama tinggi. Tapi cinta ku hanya ingauan pada malam hari.

Aku bagaikan menjadi seorang yang sasau dengan penderitaan ini. Segala-gala kehidupan ku tidak tersusun lagi. Seringkali aku jadi seorang pemikir yang maha hebat. Tapi aku masih boleh dianggap beruntung kerana dalam diri ku ada gambarnya sekeping yang ku pinta dari sahabatnya dengan nilai wang. Bertapa cinta yang ingin ku bina. Ia adalah yang pertama lahir dari diiri ku. Ia lahir dari kesucian hati yang murni dan ikhlas. Tapi kenapa engkau tidak mengerti Raiha. Aku sering kali menjadi kaku dan bisu bila terserempak dengan Raiha. Kenapakah begitu?

Petang itu aku menjadi penunggu yang setia lagi bagi menanti kepulangan Raiha. Alangkah menariknya perkara yang tidak dirancangkan. Raiha tidak kembali ke rumah rupanya dia bersiar-siar di taman terlebih dahulu. Ku ingin mengatakan manis seribu kali kalau aku berkata demikian. Mengapa tidak? Suasana seperti ini amat sukar untuk ku temui , Raiha bersiar-siar k e kebun bunga hanya seorang diri.

“Apa khabar?”

Tak ada jawapan. Raiha duduk membatu di bangku batu. Hati ku bagaikan luruh sekeping sekeping. Kenapa begini kejam. Aku akan mencuba lagi.

“ Boleh saya duduk!” Tanpa menunggu jawapan aku melabuhkan punggung ku di atas bangku.

“ Tunggu siapa. ” Bisukah dikau. Pasti pada kali ini aku perlu berterus terang kalau tidak aku sendiri yang akan kecewa.

“ Raiha sebenarnya aku sudah lama memerhatikan dirimu tapi seringkali lidah kelu bagaikan dipaku untuk berkata. Sama ada dikau percaya atau tidak, sama ada dikau terima atau tidak sama ada aku bagaikan pungguk tidak menjadi halangan bagiku. Hatiku akan berasa aman dan tenteram selepas ini ………! Raiha sebenarnya aku sudah amat lama menyintai akan diri mu.”

Aduhai berat benar kah batu di bibirmu. Hati ku puas bila sudah berkata tapi kenapa dikau masih berdiam diri. Cakaplah Raiha kalau sudi kata sudi kalau tidak katakana tidak. Tapi minta-minta janganlah kau kata tidak. Tidak……….

“ Tak apalah Raiha mungkin aku tidak sesuai bagi dirimu. Tapi aku ada satu permintaan terakhir diri mu.”

 Aku mengeluarkan poterat Raiha dari saku seluar. Kemudian aku menatap Raiha yang membelakangkan mukanya dari ku. Lama aku menatap poterat tersebut.

“ Aku menganggap gambar ini adalah seperti dikau. Sekarang aku merenung dengan penuh kecintaan seperti Romeo ke atas Juliet.

Aku lihat muka Raiha sudah merah padam. Dia seperti gelisah. Tangannya seperti menggosok mata dan sebentar benar pula mengesat dahi.

“Raiha, aku pergi dulu”. Lalu aku pun bangun untuk menuju ke kereta. Hatiku berasa lega dan puas. Hasrat ku telah diluahkan. Aku tidak perlu bimbang apa apa lagi.

“ Saidan!”

Aku menoleh dan melangkah terus.

III

Pagi menjelang lagi setelah malam. Pukul berapa terlelap pada malam tadi aku tak sedar. Jauh ingatan ku melayang-layang bagai merakam kembali peristiwa lalu. Tapi pagi ini dan pagi pagi yang akan datang Raiha sudah tidak ke mana lagi. Dia sudah berada dalam rumah ini. Dia sudah menjadi isteriku yang sah di sisi syarak.

Cuti perkahwinan kupanjang lagi. Banyak lagi ruang dan masa untuk ku bergembira. Ku bangun malas dari katil. Raiha menjenguk kepala ke kamar tidur. Aku menarik tangan Raiha ke sisi.

“ Eh abang ni belum hendak mandi agaknya.”

Raiha melarikan dirinya kembali ke dapur. Alangkah bertanggungjawabnya perempuan terpelajar.

IV

Petang itu kami bersiar-siar lagi. Alangkah indahnya memori petang. Anginnya yang lembut-lembut nyaman semakin mengetarkan hati kami. Kami berkunjung ke sebuah kawasan hijau yang lapang. Sunyi dan sepi. Lama kami duduk di atas hamparan permaidani hijau sambil mematah-matah kayu. 

Percakapan tidak bererti lagi pada masa itu. Kami sudah bercakap. Kami, Kami sudah puas tersenyum. Kami, Kami sudah puas ketawa. Alangkah indahnya cinta kami apabila piala hati bersatu. Kasih sayang kami kasih yang suci. Tidak ada perlanggaran hukum syarak tidak ada perlanggaran adat. 

Kami sudah sah diijab kabul. Kami bebas berjalan. Kami bebas ketawa. Segalanya-galanya adalah untuk kami berdua. Kami melihat serentak daun kering yang melayang-layang gugur dari ranting sena di tiup sang bayu. Cinta bukan seperti daun kering. Dahan hanya akan menerima pautan daun bila ia masih segar. Tetapi apabila daun sudah kekeringan dahan tidak membela daun-daun yang gugur dalam kelesuan.

Bukankah kejam cinta seperti itu. Sebenarnya aku tidak suka menggunakan cinta dalam hidup ku. Bagi ku cinta adalah lambang kepura-puraan. Sering kali pabila aku mendengar orang menyebut, “Kucinta! Kucinta! Kucinta,” aku merasakan seperti ia apa berkata ada pada cinta. Cinta memang butaaa.

Sayang adalah lebih mesra dan ada kelembutan dalam perkataan seperti itu. Aku amat kasih dan sayang kepada isteri ku seperti aku amat kasih dan saying kepada ibu ku dan bapa ku. Tapi kesayangan ini kadang kadang ingin ku membatasi. Kebongsuan diri ku menyebabkan menyebabkan aku ditimang tinggi-tinggi sampai ke puncak awan. 

Abangku yang dua orang sudah beristeri dan tinggal sebumbung isteri mereka. Kakak ku yang tiga orang juga sudah mengikut pasangan masing-masing dengan dunia mereka. Jadi dalam rumah kami yang besar cuma tinggal aku, ayah, ibu dan seorang pembantu rumah dan kini bertambah pula seorang lagi iaitu buah hatiku.

Awan masih putih lagi. Tapi kami rasa kami perlu beredar dari sini. Terima kasih rumput-rumput kerana sudi menjadi hamparan kami. Ku terharu angin kerana dikau memberi kesegaran dan suasana romatik kepada kami. Terima kasih semua kami akan beredar pada hari ini. Pasti pabila ada kelapangan kami akan bermadu di sini lagi.

Aku memimpin tangan isteri munuju ke kereta. Raiha akur dengan ajakan ku. Gembiranya hati kalau punya isteri yang tidak banyak kerenah. Senang diajak berbicara. Aku mengajak bersiar dia turut bersiar dan kini aku mengajak makan dan dia sudi untuk mengikuti ku bak kata dia dengar, dia patuh tanpa banyak bersoal.

“Raiha hendak pandu kereta.”

“Hendak.”

“Rai, pandai pandu kereta.”

“Tak.”

“Okey abang ajar Raiha pandu kereta. Raiha duduk sebelah abang. Mula-mula kaki kiri, Raiha tekan pada ‘cluth’ kereta kemudian tangan kiri masuk ‘gear’. Setelah Raiha tekan minyak perlahan-lahan dan lepaskan ‘cluth’ perlahan-lahan. Kereta akan bergerak. Kalau hendak berhenti kaki kanan tekan ‘break’ dan kaki kiri tekan ‘cluth’. Boleh!”

''Mula-mula Raiha pandu abang duduk sebelah. Haaa! Bagus Raiha sudah dapat memandunya. Sekarang abang keluar, Raiha pandu sendiri. Berani?”

“Berani.”

Raiha pun memandu kereta mula-mula perlahan-lahan. Aku mengikutinya dari belakang, dengan berlari-lari anak. Tiba-tiba kereta itu meluncur laju. Dadaku berdegup kencang.

“Abang! Tolong, tolong!”

“Berek Raiha.” Aku menjerit sambil berlari seberapa kencang yang boleh. Tiba-tiba kereta berhenti. Aku melihat Raiha ketawa panjang. Aku jadi bingung kerananya.

“Sebenarnya Raiha pandai memandu kereta, kerana ayah telah mengajar Raiha untuk memandu kereta. Raiha minta maaf,ya…kalau abang marah.”

“Tidak! Abang tidak marah. Tapi lain kali jangan buat begini kerana abang lesu jadinya. Bukankah Raiha tahu yang abang tidak dapat bersendirian lagi.”

Kami rasa sudah agak lama kami berjalan-jalan dan bersiar-siar. Awan pun sudah kemerah-merahan. Senja sudah hampir tiba untuk mengantikan kedamaian petang buat kami. Kereta kupandu untuk kembali ke rumah.

V

Hari ini kami keluar lagi untu kedamaian kami. Kalau semalam kami ke kawasan yang kehjijauan tapi hari hari ini kami ke taman pula. Kami pergi ke Safari pada petang ini. Sebenarnya rumah kami tidak jauh dari taman tersebut.

Kami tidak dibenarkan keluar di kawasan yang mempunyai binatang liar. Sepanjang lawatan kami di kawasan ini binatang-binatang liar tadi menghampiri kereta kami.

Sesudah itu kami menyaksikan kehebatan burung nuri. Kemudian kami lihat pertunjukan-pertunjukkan yang diadakan pada hari itu. Banyak juga gambar haiwan yang kami rakam untuk menjadi kenangan kami.
“Raiha hendak tunggang kuda.”

“Hendak.”

“Pandai.”

“Tak.”

“Mari kita pergi ke kandangnya, nanti penjaganya akan menunjukkan pada Raiha cara-cara untuk mengendalikannya.”

“Raiha hendak naik kuda mana?”

“Yang coklat kemerahan tu!”
“Boleh encik tunjukkan kepada isteri saya untuk mengendalikan kuda tersebut?”

“Boleh.”

“Okey, Raiha sekarang pergi dengar macam mana hendak kendalikan kuda tersebut.”

“Mula-mula cik puan perlu menepuk kuda tersebut untuk merendahkan badannya. Sesudah itu cik puan naik. Tangan dan kaki memainkan peranan penting dalam mengendalikan kuda tersebut. Cik puan jangan bimbang, ini semua kuda adalah kuda yang jinak.”

Raiha sudah berada di belakang kuda tersebut. Kuda itu menolak-nolak kaki belakangnya. Kemudian kuda itu mula menapak perlahan-lahan. Tiba-tiba kuda itu memecut deras.

“Abang, tolong! Tolong!”

“Tuan selamatkan isteri saya.”

Aku melihat penjaga kuda itu melompat ke atas seekor yang lain. Aku turut berlari kencang untuk menyaingi larian kuda tadi. Segala sendi-sendi badanku seakan-akan menggigil. Tiba-tiba kuda itu berpatah balik ke arahku. Aku lihat Raiha ketawa berdekah-dekah lagi. Apabila hampir padaku Raiha melompat turun dari kuda seakan-akan seorang yang sudah terlalu mahir.
“Abang, marah?”
“Tidak.” Aku menjawab dalam ketawa yang dibuat-buat.

“Sebenarnya Raiha pandai menunggang kuda kerana di rumah kami yang lama dahulu ada beberapa ekor kuda yang dipelihara.”

“Aku juga yang tidak berfikir panjang. Bukankah Raiha anak yang tunggal dalam keluarganya. Tentulah dia telah diberi segala erti kehidupan ini. Dan lagipun bukankah baapa Raiha seorang yang bergelar “Dato’”.
“Terima kasih encik,”ucapku pada penjaga kuda itu. Lalu kami pulang ke rumah.

VI

Air tenang sedikit berombak-ombak halus. Kaki langit bagaikan merata di hujung pantai. Langit senja kemerah-merahan. Sekali-sekala ombak bergulung-gulung ke pesisiran pantai. Angin pantai bercampur baur bersama-sama angin nyiur.

Alanglah indah dan tenang memori kawasan pantai Air Papan dirembang petang ini. Kami anggap ini perjalanan akhir kami meraikan suasana perkahwinan kami. Kalau kelmarin kami ke kawasan kehijauan, semalam pula diperhutanan dan hari ini kami ke kawasan kebiruan, ketenangan dan kedamaian. Angin mengelus-elus lembut tubuh kami.

Gobok-gobok buruk banyak berselerak di kawasan pantai. Inilah kawasan yang kaya dengan keindahan semulajadi dan kemisikinan mencengkami masyarakat setempat. Buat masa ini perkara-perkara seperti itu tidak mendapat tempat dalam benak fikiranku. Kami datang untuk berhibur, untuk bersuka dan untuk apa sahaja yang boleh menggembirakan diri Raiha dan diriku sendiri.

Lama kami merenung pantai yang landai. Tiada kata bicara buat masa ini. Kata-kata sudah tidak memberi erti lagi di pantai kedamaian ini. Semuanya bisu dan kelu. Lama aku memerhatikan wajah Raiha yang dihembus angin pantai. Sekali-sekala Raiha menyelak anak rambutnya yang dihembus angin. Wajah Raiha menggambarkan seribu ketenangan. Lembut dan ayu.

“Raiha hendak mandi?”
“Hendak.”

“Kalau Raiha hendak mandi… mandilah seorang abang rasa sejuk untuk turut sama mandi di pantai.”

“Baiklah Raiha mandi seorang, abang tunggu Raiha di pesisiran pantai. “

Setelah menukar pakaian, Raiha pun menuju ke gigi air untuk mandi. Raiha hanya bermain-main di tepi pantai. Perlahan-lahan Raiha semakin jauh dari pesisiran pantai. Langkah Raiha sungguh berhati-hati. Pada petang begini ombak memukul hebat.

Ombak besar datang bergulung-gulung membawa Raiha lebih jauh dari pantai. Raiha sudah berada jauh ke tengah laut. Tangan Raiha terkapai-kapai seperti minta tolong. Suara Raiha sayup-sayup kedengaran tapi tidak jelas.

Ombak masih memukul pantai tanpa ada hentinya. Lama kuperhatikan gelagat Raiha mandi di pantai. Aku melihat tangan Raiha terkapai-kapai seperti minta tolong. Aku tertawa senang. Ibu jari, kugoyang goyangkan bagaikan mengejek Raiha. 

Aku tahu Raiha cuba hendak menipu diriku lagi. Bukankah aku sudah mengalami guruan Raiha sebanyak dua kali. Sekali semasa memandu kereta dan sekali semasa menunggang kuda. Ah! Raiha kenapa kau suka bergurau seperti itu.

Aku tertawa senang. Hah, Raiha! Raiha! Tiba-tiba sekumpulan nelayan dalam tergesa-gesa melompat ke air. Hatiku mula berdebar kencang. Tanpa berfikir aku segera terjun ke air. Aku berenang dan terus berenang. Raiha. Oh, Raiha! Aku semakin jauh dari kawasan pantai.

Kelibat Raiha sudah tidak kelihatan. Aku menyelam dan terus mencari. Hatiku semakin berdebar kencang. Raiha masih tidak kelihatan. Kudratku semakin lemah. Semuanya gelap dan sepi.

4 comments:

  1. cerita yg menarik..kesian isterinya..

    ReplyDelete
  2. cerita yang best..alahai, kecian gak kat isteri dia..

    ReplyDelete
  3. best cerita encik... tetibe berderau darah saya... kesian isteri dia n kesian kat dia... disangka gurauan tetapi kenyataan.... huhuh.. mood : sedih..

    ReplyDelete
  4. terbaik lah encik, senang saya nak faham cerita ni...kalaulah saya dapat menulis macam ni mesti A+ kan encik?

    ReplyDelete