Wednesday 25 July 2012

ASPEK APRESIASI SASTERA

APRESIASI TEKS 

Kaedah Apresiasi
  1. Diasaskan daripada pendapat bahawa sastera adalah adunan bahasa dan pemikiran yang melibatkan kehidupan manusia dan alam sekitarnya.
  2. Merupakan ciptaan seni yang mendukung syarat-syarat keindahan yang menyangkut isi,bahasa dan bentuk,keselarasan dan keseimbangan serta diperkaya dengan pemikiran yang berharga.
  3. Sastera ialah hasil ciptaan seni, imaginatif dan akal budi sebagai ciri utama.
  4. Gabungan ketiga-tiga unsur ini menjadikan karya tersebut sebagai medan perjuangan bagi pengarang untuk menyatakan perasaan dan cita-cita atau harapan dan impian mereka serta mempamerkan hubungan manusia dan kemanusiaan dengan persekitaran.
Kaedah Mengalami dan Menghayati
  1. Tanggapan pembaca berbeza kerana sesuatu pengalaman dikaji mengikut apa yang ditanggapi oleh pembaca sendiri. 
  2. Setiap individu mempunyai pengalaman yang tersendiri iaitu hasil daripada himpunan pengalaman yang dilaluinya dan nilai-nilai pengalaman itu sendiri.
  3. Oleh itu, pengkajian kesusasteraan haruslah menekankan apa yang dialami oleh pembacaan dan sejauh mana pula seseorang pembaca itu dapat menghayati rakaman penulis melalui bahasa yang disampaikan.
  4. Kaedah mengalami dan menghayati menekankan penikmatan.
  5. Aspek-aspek kesusasteraan yang dipelajari itu dapat dirasakan dan dihayati sepenuhnya.Penghayatan itu didasarkan kepada himpunan pengalaman pelajar itu sendiri dan ini digunakan untuk mendapatkan sesuatu pengalaman baharu, impian mereka serta mempemerkan hubungan manusia dan kemanusiaan dengan persekitaran.
TEMA

Tema ialah persoalan utama yang menjadi gagasan atau idea utama yang menjadi dasar penceritaan pengarang dalam sesebuah karya.

Gagasan utama yang menjadi tunjang cerita biasanya akan menjadi inti cerita. Hasim Awang (1984) menjelaskan bahawa tema ialah idea utama yang menjadi inti kepada sesebuah cerita.

Tema hanya akan dapat dikesan setelah seseorang pembaca selesai membaca sesebuah karya. Seterusnya, pembaca akan membuat rumusan tentang inti pati cerita yang disampaikan oleh pengarang.

PEMIKIRAN

Satu gagasan yang memperlihatkan idea pengarang yang berkaitan dengan falsafah yang diutarakan dalam sesebuah karya. Biasanya kajian tentang pemikiran ini dilihat dalam karya yang berbentuk drama. Pemikiran yang hendak disampaikan oleh pengarang boleh dikesan melalui dialog yang diungkapkan oleh watak-watak dalam sesebuah drama itu.

PERSOALAN

Persoalan ialah isu atau permasalahan lain yang menjadi idea sampingan kepada gagasan utama pengarang. Gabungan beberapa persoalan pula akan membentuk tema bagi sesebuah cerita.Sebagai contoh, persoalan yang biasa dikemukakan oleh pengarang adalah seperti yang berikut:
  1. Persoalan perjuangan
  2. Persoalan pendidikan
  3. Persoalan percintaan
  4. Persoalan kemiskinan
  5. Persoalan perniagaan
  6. Persoalan sosial
  7. Persoalan agama
PLOT

Perkembangan cerita antara pengarang adalah tidak sama misalnya ada yang dimulai dengan kronologi(permulaan,perkembangan,klimaks dan peleraian). Merupakan aksi /peristiwa yang berkembang dan berhubung antara satu sama lain ( permulaan, aksi naik/perkembangan konflik)perumitan, puncak,pelaraian.

Binaan Plot:

  1. Permulaan
  2. Perkembangan/konflik – aksi menaik
  3. Perkembangan/konflik – perumitan
  4. Puncak
  5. Peleraian.
Peristiwa – perlu ada pertentangan antara dua kuasa atau tenaga dan berlakunya sebab dan akibat.
Aksi watak – digerakkan oleh sebab pengembaraan jalinan peristiwa,pemikiran serta sebab dan akibat.

Teknik Plot/Penceritaan

1. Teknik Dialog:
Perbualan-perbualan antara watak bagi menggambarkan sesuatu peristiwa atau untuk menyampaikan pemikiran pengarang.

2. Teknik Imbas Kembali
Peristiwa yang diingat kembali iaitu yang menggambarkan bagaimana watak mengenang atau mengimbau masa lalu.

3. Teknik Imbas Muka
Ramalan terhadap peristiwa akan datang. Teknik ini menyebabkan pengarang terpaksa merancang serta membayangkan kejadian masa akan datang yang belum pasti.
4. Teknik Monolog
Perbualan dengan diri sendiri– dengan bayang-bayang sendiri/benda/binatang.Menggambarkan kehairanan kekaguman tetapi tidak dinyatakan kepada orang lain.

5. Teknik Monolog Dalaman
Aliran kesedaran untuk mengungkapkan fikiran dan pengalaman batin termasuk emosinya. Watak akan berkonflik dengan diri sendiri.Menyebabkan soal jawab dalam hati watak kerana kadang-kadang logik tidak terkawal.

6. Teknik Saspens
Peristiwa yang menarik perhatian pembaca untuk mengetahui perkara seterusnya.Keadaan ini menyebabkan pembaca berasa teruja,tegang,cemas,bimbang dan tertanya-tanya ketika menunggu sesuatu atau menghampiri sesuatu klimaks.

7.Teknik Kejutan

Perubahan peristiwa tanpa diduga oleh pembaca. Hal ini menyebabkan pembaca berasa teransang kerana sesuatu yang tidak disangka-sangka akan berlaku kepada watak atau sesuatu peristiwa.

WATAK DAN PERWATAKAN

Watak

Watak ialah pelaku yang memainkan peranan untuk menghidupkan plot sesebuah cerita atau peristiwa. Watak dalam sebuah cerita boleh terdiri daripada manusia seperti binatang yang diberikan sifat manusia.

Perwatakan
Perwatakan merupakan cirri-ciri atau sifat-sifat yang terdapat dalam diri watak.Perwatakan bermaksud kelakuan,sifat,perangai, budi pekerti,tingkah laku, tabiat,pembawaan, akhlak dan moral.

 Penonjolan ini dapat dikesan oleh pembaca melalui pelbagai cara yang digunakan oleh pengarang. Pembaca akan mengesan perwatakan seseorang atau sesuatu watak melalui empat kaedah iaitu:

  1. Secara langsung iaitu perwatakan atau cirri-ciri watak itu diterangkan dan diperjelaskan secara terus-terang.
  2. Perwatakan yang diperincikan melalui dialog sama ada watak itu sendiri ataupun oleh watak lain.
  3. Perwatakan yang digambarkan melalui perbuatan ataupun aksi watak.
  4. Perwatakan yang dilukiskan berdasarkan perkembangan jiwa sesuatu watak.
Watak Utama

Watak yang terlibat hampir keseluruhan cerita. Misalnya watak putih, watak bundar, watak bulat, watak protagonis.
  1. Watak Bulat/Bundar
  2. Watak penting – berkembang dan berubah.
  3. Watak Sampingan  – Watak yang bukan keseluruhan cerita.
  4. Watak pipih – tidak berkembang (watak pembantu)
  5. Watak protagonis – ciri-ciri baik/ watak putih
LATAR

Latar merujuk kepada perihal masa, tempat dan masyarakat Jenis latar dapat dibahagikan kepada tiga iaitu:

Latar tempat

Tempat berlakunya peristiwa,iaitu tempat sebenar dari sudut geografis.Hal ini berkait rapat dengan latar lokasi,kawasan,daerah dan wilayah.
Latar masa dan waktu

Masa atau waktu yang dilukiskan oleh pengarang dalam cerekanya. Hal ini berkait rapat dengan zaman, era, musim, ataupun pada waktu subuh, pagi, petang, dua tahun, kelmarin, lusa, dua bulan lalu, ataupun ketika dinihari, iaitu pagi-pagi benar, sebelum fajar menyinsing antara pukul tiga pagi hingga pukul lima pagi.

Latar Masyarakat


Cara kehidupan watak merangkumi latar belakang pendidikan, agamanya, kehidupan sosial atau masyarakat yang dianggotai, adat istiadat, peraturan yang diamalkan, cara bertindak, berkelakuan, berfikir dan fahaman atau kepercayaan watak serta segala hasil aktiviti dan penciptaan yang berupa fizikal dan kerohanian,tamadun ataupun pembangunan akal budi yang sengaja ditonjolkan oleh pengarang.

SUDUT PANDANGAN

Sudut pandangan ialah cara pengarang mengemukakan cerita atau kedudukan pencerita, iaitu sama ada dalam cerita atau di luar cerita.Terdapat empat jenis sudut pandangan iaitu:

1. Sudut Pandangan Orang Pertama
            
Penulis berperanan sebagai watak dalam cerita,iaitu sama ada watak utama atau watak sampingan dan menggunakan ganti nama diri orang pertama, iaitu “aku”, atau “saya”.

2. Sudut Pandangan Orang Ketiga Serba Tahu.
Penulis bertindak sebagai orang yang serba tahu tentang diri watak dan peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh watak-watak.Penulis perlu mengetahui secara terperinci tentang watak sama ada luaran mahupun dalaman.Watak utama menggunakan ganti nama diri orang ketiga, seperti “dia” atau menggunakan nama watak, seperti Annie, Salmiah , Abu dan sebagainya.

3. Sudut Pandangan Orang Ketiga Terbatas.

Penulis merupakan pencerita dari luar lingkungan watak-wataknya dan masih menggunakan kata ganti nama orang ketiga “dia”.Penulis tidak melibatkan diri secara langsung seperti dalam sudut pandangan orang pertama.Penulis boleh meresapi watak-wataknya tetapi tidak terperinci.

4. Sudut Pandangan Objektif

Penulis merupakan pelapor atau pencatat sahaja kepada sesuatu peristiwa. Namun begitu,penulis masih menggunakan kata ganti nama “aku’,’dia’ dan atau menggunakan nama watak. Penulis tidak mengeluarkan pendapat sendiri tetapi menggambarkan watak, kejadian dan peristiwa berdasarkan apa yang dilihatnya sahaja.

GAYA BAHASA

Gaya bahasa merujuk kepada cara seseorang pengarang menerapkan atau mengeksploit unsur bahasa dalam karyanya.Gaya bahasa yang digunakan untuk menonjolkan nilai estetika atau keindahan sesebuah karya yang digarap.

Aspek gaya bahasa

Pelbagai gaya bahasa boleh digunakan oleh pengarang untuk menghidupkan karyanya. Antara aspek gaya bahasa yang dapat dikesan dalam pelbagai genre Kesusasteraan Melayu yang diksi,dialek,bahasa asing,bahasa istana dan peribahasa.

Jenis Gaya Bahasa
  1. Gaya Bahasa perbandingan
  2. Gaya Bahasa perulangan
  3. Gaya Bahasa pertentangan
Gaya Bahasa Perbandingan:

Simile
Bermaksud perumpamaan yang jelas mengungkapkan perbandingan atau persamaan antara sesuatu sama ada orang atau benda dengan sesuatu yang lain.Gaya bahasa simile ditandai dengan penggunaan kata bagai, umpama, bak,seperti, laksana,macam,ibarat, dan sebagainya.
Contoh: pipinya bagai pauh dilayang

Metafora

Merupakan pemakaian kata yang menyatakan sesuatu makna atau maksud yang lain daripada makna biasa. Metafora juga bermaksud bahasa kiasan yang membandingkan secara terus,objek atau sesuatu yang bersifat abstrak dengan diberi sifat objek lain.

Contoh : Gunung harapan

Personifikasi

Merupakan unsur perorangan. Pengarang memberikan sifat manusia kepada benda(objek).Personifikasi juga bermaksud pemberian atau penyerapan manusia kepada benda tidak bernyawa atau sesuatu abstrak dan lain-lain untuk mendapatkan kesan seni.

Contoh: Daun kelapa melambai-lambai

Inversi
 
Unsur pembalikan susunan kata dalam ayat. Perkara ini dinyatakan juga sebagai songsang atau ayat songsang dalam hukum tatabahasa.

Contoh : Akan kupintal buih-buih

Gaya Bahasa Perulangan
  1. Anafora – Perulangan perkataan pada awal baris secara berturut-turut.
  2. Epifora – Perulangan perkataan pada akhir baris secara berturut-turut
  3. Responsif – Perulangan perkataan pada tengah baris secara berturut-turut.
  4. Simploke – Pengulangan seluruh kalimat berturut-turut 
  5. Andiplosif – Pengulangan akhir kalimat diulang semula pada awal baris.
  6. Repitisi – Tidak konsisten
  7. Asonansi – Pengulangan bunyi vokal
  8. Aliterasi – Pengulangan bunyi konsonan
  9. Pengulangan angka

Gaya Bahasa Pertentangan/Penegasan

Paradoks –  Bertentangan
Contoh : sedih dalam duka

Hiperbola  –  Ungkapan atau penyataan kiasan yang berlebih-lebihan atau sengaja dibesar-besarkan
Contoh : Dia meredah lautan api
Hybrid –   Gabungann dua perkataan
Contoh : matabatinku

Asindeton – gugurkan kata hubungan

Polisindeton – banyak kata hubung,
seperti “yang” dan “dengan”.

Onomatopie – meniru unsure bunyi.`

NILAI DAN PENGAJARAN

Nilai merujuk kepada nilai-nilai murni masyarakat.Kita dapat mengesan nilai-nilai murni yang terdapat dalam sesebuah karya sastera. Antara nilai tersebut termasuklah:
  1. Baik hati
  2. Berdikari
  3. Hemah Tinggi
  4. Hormat
  5. Kasih Sayang
  6. Keadilan
  7. Kebebasan
  8. Keberanian
  9. Patriotik
  10. Rasional
  11. Bersyukur
  12. Kebersihan
  13. Bertanggungjawab
PENGAJARAN

Dalam sesebuah karya sastera itu, terdapat beberapa pengajaran.Pengajaran merujuk kepada perkara-perkara yang boleh diteladani atau yang boleh dijadikan sempadan oleh pembaca atau pendengar sesebuah hasil karya sastera. Untuk menyatakan bentuk pengajaran, biasanya digunakan ungkapan yang berikut:
  • Kita hendaklah sentiasa menjaga hubungan baik dalam keluarga.
  • Kita seharusnya sentiasa bersedia menghadapi segala cabaran yang mendatang.

11 comments:

  1. Terima kasih Encik untuk bacaan tambahan ini , sangat membantu untuk menghasilkan cerpen untuk kerja kursus.

    ReplyDelete
  2. terima kasih encik..perkongsian yang cukup menarik.

    ReplyDelete
  3. aduss saye..sangat berguna..terimas en

    ReplyDelete
  4. amat membantu,tetapi saya masih buntu cerita apa yg sy nk buat nnt..-cinta si pengali kubur-

    ReplyDelete
  5. Terima kasih encik...bahan ini akan membantu kami semua..

    ReplyDelete
  6. Salam...terima kasih en..nota ni sangat membantu kami =)

    ReplyDelete
  7. terima kasih encik..nota ni akan saya manfaatkan sebaiknya

    ReplyDelete
    Replies
    1. Gunakan sapek-aspek tersebut dalam merancang penulisan kreatif anda

      Delete
  8. terima kasih encik..perkongsian encik menjadi inspirasi dan amat bermanfaat kepada saya..:)

    ReplyDelete
  9. boleh copy kan empunyer isi kandungan??

    ReplyDelete