Tuesday 24 July 2012

ANALISIS CERPEN SAYANG ADIK SAYANG (J1)

Malam telah lama melabuhkan tirai kegelapannya. Malam gelap dan mencemuhkan. Adik masih terperosok diceruk dapur. Sesekali adik mengintai ayah makan. Kemudian ekor mata adik beralih kepada abang kemudian kepada Kak Long dan beralih pula kepada Kak Ngah. Ibu nampak adik menjongkol kepala. 

“Misah mari makan,”ajak ibu.

Cepat-cepat adik melarikan mukanya. Ayah mengerling kepada adik. Kepala adik terkulai dan merendah seperti kura-kura menyembunyikan kepalanya. Adik memang tidak pernah bertentang muka dengan ayah. Adik tidak pernah senyum dengan abang. Adik tidak pernah ketawa dengan Kak Long. Kak Ngah. 

Meja makan telah dibungkam sepi. Ayah, abang, Kak Long dan Kak Ngah telah beredar. Mereka melabuhkan punggung di ruang tamu menghadap televisyen. Cuma adik masih terperap di dapur. Ibu mengemas meja. Adik cepat-cepat keluar dari celah almari. Adik lincah menolong ibu. Adik angkat pinggan beri kepada ibu. Adik ambil gelas tamu menghadap televisyen. Cuma adik masih terperap di dapur. 

Ibu mengemas meja. Adik cepat-cepat keluar dari celah almari. Adik lincah menolong ibu. Adik angkat pinggan beri kepada ibu. Adik ambil gelas beri kepada ibu. Adik tersenyum. Ibu hanya memandang gelagat adik. Adik tarik-tarik kain ibu. Hanya ibu tempat adik bermain. Gembira sungguh adik bermain dengan ibu.

Adik bermain dengan ibu. Adik membebel dengan ibu. Adik mengadu dengan ibu. Kasih sayang adik untuk ibu. Ketawa riang adik untuk ibu. Senyum adik pun untuk ibu. Semua hak adik hak ibu. Adik kepunyaan ibu dan ibu kepunyaan adik. Tiba-tiba adik mencium pipi ibu. Ibu ketawa berdekah-dekah melihat keletah adik.

Ibu mendudukkan adik di kerusi. Ibu mencedok nasi dalam piring. Ibu tuang kuah atas nasih dan mengambil sepotong ikan goreng. Nasi diramas-ramas oleh ibu supaya sebati dengan kuah. Kemudian ibu mencubit secebis daging ikan dan disumbat bersama nasi. Ketulan nasi itu disuapkan ke mulut adik. Adik mengunyah-ngunyah nasi dengan senang. Selera adik cukup terbuka apabila ibu menyuap nasi. Adik untuk ibu dan ibu untuk adik. Adik makan nasi bersama ibu dan ibu makan nasi bersama adik. Adik sayang ibu dan ibu sayang adik.

Mulut adik dibasuh. Adik diajak tidur kerana malam semakin mengesot tua. Abang masih belajar di ruang tamu. Abang kini di Tahun Enam. Kak Long pun masih belajar. Kak Long di Tingkatan Satu. Kak Ngah tekun membaca. Kak Ngah pula di Tahun Lima. Adik pun sudah bersekolah. Adik sekarang Tahun Dua. Adik berbonceng dengan Kak Ngah ke sekolah. Adik bersekolah di sekolah abang dan Kak Ngah. Mula-mula ibu suruh abang bonceng adik. Tapi abang enggan. Nasib baik Kak Ngah sanggup.

Ibu mendodoi-dodoi adik supaya tidur. Adik tidur sebilik dengan Kak Long, abang dan Kak Ngah. Tapi adik tidur menyendiri dan terasing. Hanya ibulah melayan adik. Ibu menepuk-nepuk adik hingga terlelap. Adik memang awal tidur. Jarang-jarang adik menunggu abang dan kakak-kakak.

Esok fajar menyinsing lagi. Menyinsingnya fajar tidak boleh ditahan-tahan lagi. Fajar menandakan waktu untuk bangit dan menghadapi hari baru. Begitulah pusingnya hingga malam melabuhkan kegelapannya. Abang dan kakak-kakak terpaksa bangkit. Terpaksa mandi. Terpaksa bersiap, Terpaksa untuk ke sekolah. Bilik mandi Cuma satu. Bergilir-gilirlah abang dan kakak-kakak mandi.

Adik terjaga dari tidur. Dia mengenyeh-genyeh mata dengan belakang telapak tangan. Adik berjalan keluar dari bilik. Tuala mandi yang tersidai dicapai oleh adik. Berus gigi adik yang tergantung di tiang dapu juga dicapai adik.

Kena tunggulah adik hingga abang dan kakak-kakak selesai mandi. Adik mencangkung dekat dapur. Apabila ada yang keluar dari bilik mandi, adik mengesot sedikit. Adik merenung ibu yang sedang sibu di dapur. Adik berganjak ke tepi tingkap. Daun tingkap dikuak adik. Alam masih gelap segelap kopi yang dihirup. Adik tergesa-gesa ke bilik air apabila gilirannya tiba. Pagi begitu dingin. Beberapa timba air adik selesai mandi.

Suara ayah mersik apabila berazan. Abang dan kakak-kakak sibuk berwuduk. Ibu juga berwuduk sambil membantu adik berwuduk. Ibu mendidik adik agar berwuduk dengan sempurna. Ibu faham sempurna wuduk, sempurnalah solatnya. Adik menuruti sahaja cara ibu berwuduk. Kemudian ibu, adik, abang, Kak Long dan Kak Ngah menuju ke bilik solat. Ayah sudah menunggu di situ.

Adik selalu bersolat dengan berjemaah bersama-sama ayah, ibu, abang dan Kak Long dan Kak Ngah. Ayah meminta abang qamat. Abang berqamat dengan suara yang mersik juga. Kemudian ayah pun memulakan solat subuh hingga selesai. Setelah mengaminkan doa yang dilafaz ayah, ibu tergesa-gesa ke dapur untuk menghidangkan sarapan pagi.

Semasa bersarapan, adik masih seperti itu juga. Adik masih macam pagi semalam, kelmarin, kelmarinnya lagi, kelmarin kelmarinnya lagi, dan seperti dulu-dulu juga. Kelakuan adik yang menunggu setelah ayah, abang dan kakak-kakak selesai bersarapan dan baru adik bersarapan berulang lagi tanpa boleh dihalang-halang. Adik tetap akan terperosok di seruk almari. Ayah bergegas untuk bersiap. Abang dan kakak-kakak juga tergesa-gesa untuk bersiap.

Ibu meminta adik cepat-cepat bersarapan. “Nanti ketinggalan, “kata ibu. Adik makan cepat-cepat. Ibu membantu adik bersiap. Setelah siap berpakaian, ibu menyikat rambut dan membedak muka adik. Abang dan kakak-kakak ketawa apabila muka adik disapu bedak putih. Ibu memenarik muka. Abang dan kakak-kakak menutup mulut.

Kak Long naik kereta bersama ayah. Kak Long yang sudah bersekolah di bandar di hantar oleh ayah yang juga bekerja di bandar. Ayah bekerja di pejabat. Kata ibu ayah penolong pengurus. Abang mengayuh basikal ke sekolah. Adik membonceng dengan Kak Ngah ke sekolah. Adik diam sahaja ketika berbonceng dengan Kak Ngah.

Ibu berasa amat kejam sikap ayah. Membezakan kasih sayang antara anak sesuatu yang kejam. Mengapakah ayah berbuat begitu? Bukankah abang, kakak-kakak dan adik anak ayah. Anak ibu. Ibu hairan. Hairan sungguh dengan sikap ayah. 

Ibu tinggal seorang di rumah. Sibuk ibu ke sana ke mari. Basuh, bilas, jemur kain basah, masak, sapu rumah ibu lakukan dengan segera. Kerja ini rutin kehidupan. Ibu hafal kerja ibu seperti ibu hafal ayat fatihah. Lincah ibu bekerja ke sama ke mari. Ibu langsung tidak berasa penat melakukan kerja yang sama setiap hari. Ibu tahu ini tanggungjawab. Kerja ini tanggungjawab ibu dalam rumah tangga. Menguruskan rumah tanggungjawab ibu. Ibu tak boleh harap sesiapa. Ibu tak boleh harap ayah. Atau harap abang, Atau kakak-kakak. Apalagi adik. Ibulah yang kena urus. Ibulah yang korban. Ini kerja ibu, biarlah ibu yang buat.

Lagipun apalah sangat kerja urus rumah. Kerja hari-hari. Alah bisa tegal biasa. Ibu sudah lali kerja-kerja seperti itu. Kalau sakit pun ibu juga yang buat. Ibu tak pernah ambil cuti untuk kerja ini. Itupun masa bersalin ibu berehat. Ayah ambilalih tapi bukan sepenuhnya. 

Ayah mengupah orang gaji. Ayah pun cuti seminggu sahaja. Habis pantang ibu kembali ke rutin biasa. Ayah kalut sikit pun masa kelahiran Misah. Sebelum itu, Kak Long lahir. Abang lahir. Kak Ngah lahir. Semua ibu mertua ibu yang buat. Ayah beli sahaja apa yang nenek Misah minta. Tapi lahir Misah, ibu ayah pun kembali ke alam baqa. Kembali ke hadrat Allah S.W.T. Ayah tergamam. Ayah menghadapi kejutan.

Kadang-kadang ibu bernenung panjang memikirkan kelahiran Misah. Kelahiran Misah menyebabkan ayah kehilangan ibu. Malahan kelahiran itu seolah-olah tidak disenangi ayah. Kelahiran Misah bukan seperti kelahiran Kak Long. Kelahiran abang. Kelahiran Kak Ngah. Kebencian ayah menular kepada Kak Long. Abang. Kak Ngah. Ibu benar-benar kematian akal. Mengapakah? Mengapakah dalam hal Misah ayah begitu dungu walaupun ayah seorang graduan. Ibu benar-benar takjub dalam Misah ayah benar-benar dungu dan hodoh. Lagak kebodohan ayah itu sebati pula dalam diri Kak Long. Abang. Kak Ngah.

Adik memang tidak dimanjai ayah. Adik tidak dicumbui ayah. Apatah lagi didukung, diangkat, dimesra ataupun apa-apa sahaja. Seolah-olah adik tidak wujud di rumah. Seolah-olah adik hilang dalam kegelapan. Kemesraan ayah seperti dicabut jauh-jauh daripada adik. 

Seperti mencabut lalang di sawah padi. Ayah seolah-olah menyingkir adik dalam keluarga walaupun ayah tahu adik ialah darah dan daging ayah sendiri. Ayah lupa. Kasih sayang yang direnggut-renggut menjejaskan emosi adik. Pendiam, merajuk, cepat menangis dan menyembunyikan diri terbawa-bawa dalam diri adik. Kalau dahulu adik cuba berjinak-jinak dengan abang. Dengan kakak. Sekarang adik terus menjauhkan diri.

Ibu tak sampai hati melihat kasih sayang yang diabaikan. Ibu menangis mengenangkan diri adik yang disentak-sentak kerinduan ayah dari dalam dirinya. Ibu tanam kasih sayang dalam diri adik. Diakrabkan kemesraan. Disuntik kecintaan. Adik membesar dengan benih kasih sayang, mesra dan cinta ibu. Bagi adik ibulah ayah. Ibulah abang. Ibulah kakak. Ibulah rakan taulan. Ibulah kehidupan. Ibulah segala-galanya.

Tengah hari merangkak menyeliputi pagi yang berlalu. Matahari terpacak betul-betul atas kepala. Bahang kepanasan begitu terasa. Tentulah adik terkinja-kinja dengan kepanasan tengha hari. Ibu maklum. Benar-benar maklum adik akan pulang sebentar lagi. Ibu tahu abang dan kakak juga akan pulang.

Adik pulang juga dari sekolah. Seperti semalam, kelmarin, dan kelmarin dulu mata adik merah lagi. Bukan hari ini mata adik merah. Bahkan esok, lusa, tulat, tunggeng mata adik tetap akan merah. Ibu tidak payah bertanya. Ibu tahu mata adik merah. Ibu tahu sebab mata adik merah. Buat apa ibu bertanya. Semalam pun adik balik menangis. Kelmarin pun adik balik menangis. Dulu pun adik balik menangis. Apabila balik sekolah adik mesti menangis. Ibu akan terpa juga depan pintu. Belum bertanya adik telah bersuara.

“Kawan-kawan perli adik, bu.”

Ibu pun memanggung kepala adik. Ibu menyeka air mata adik. Rambut adik dibelai dengan lembut. Sambil membelai ibu mengusap-usap lembut belakang adik. Ibu memujuk-mujuk lembut adik. Akhirnya adik akan tersenyum juga.

Adik tergesa-gesa ke bilik menukar pakaian. Baju sekolah disidai dengan kemas di ampaian. Ibu menunggu adik di dapur. Seperti dulu-dulu juga ibu menghidangkan adik nasi makan tengah hari. Setelah selesai makan adik bermain-main di halaman rumah dengan girang. 

Adik berlari ke sana ke mari dengan riangnya. Adik cukup riang main seorang-orang di halaman rumah. Kekadang adik kejar rama-rama. Kekadang adik kejar pepatung. Hari berlalu begitu sahaja tanpa adik sedari. Itulah kerja adik. Bermain dan bermain. Bermain hingga letih seluruh badan.

Ayah pulang ataupun Kak Long pulang adik tidak pernah hiraukan. Sebagaimana ayah dan kakak yang tidak pernah menghiraukan adik. Ibu ajelah yang rajin-rajin menjenguk kepala melihat adik. Kadang-kadang ibu ketawa melihat tingkah laku adik yang cukup nakal itu.

Hamparan petang mula mengamit perjalanan masa. Petang serasa indah dan nyaman. Banyak serangga yang terbang dan hinggap di bunga yang merah berwarna. Seekor pepatung hijau hitam ekornya hingga di dedaun kehijauan yang panjang dan lebar. Adik terhendap-hendap cuba menyentuh ekornya. Baru sahaja tangan adik tersentuh pepatung terbang melarikan diri. Adik melompat-lompat keriangan. Tangannya ditepuk-tepuk kerana berasa cukup gembira dan terhibur.

Segala kesedihan adik berarak bersama mega petang keriangan. Kedukaan yang membungkam terlerai bersama keriangan petang yang mendamaikan. Keriangan timbul akibat berhibur dengan pergerakan petang. Kegembiraan bersarang dengan pengamatan flora dan fauna yang merangsang.Segala kenangan adik hilang dipenuhi kedamaian. 

Adik selalu memikir biar hanya hari itu bergerak dengan petangnya sahaja. Tiada pagi, tiada tengah hari, dan tiada malam. Tapi itu tidak mungkin terjadi. Adik cukup memahami petang akan berarak diseliputi malam dan malam berlalu dengan menyinsingnya fajar dan faja berarak diselubungi tengah hari dan tengah hari kembali kepada petang yang berwarna-warni. Begitulah edaran masa yang tetap berpusing mengikut ketentuannya.

Kehadiran senja mula meluputkan petang. Awam bertompok kemerah-merahan mula menyelubungi hamparan langit. Ibu memanggil adik untuk mandi. Adik berlari-lari masuk ke dalam untuk mandi. Cepat sungguh adik mandi. Setelah siap mandi adik salin pakaian bersih kemudian adak muncul di dapur. Adik minum air teh kosong yang selalu ibu sediakan bersama-sama biskut tawar. Adik gigit sekeping biskut tawar sambil minum air teh kosong.

Selesai minum adik keluarkan buku untuk belajar. Adik menyelerakkan semua buku atas lantai. Berselerak buku adik bertabur di lantai. Adik mencari buku latihan untuk menyelesaikan kerj rumah yang dibekalkan guru. Cepat-cepat adik menyudahkan latihan yang diberi oleh guru. 

Mana-mana yang adik tidak faham, adik lari-lari ke arah ibu. Ibu pula bawa buku itu diunjuk kepada ayah. Ayahlah yang membantu dalam soal pelajaran tetapi dengan perantaraan ibu.Ibu pun tidak menunggu adik menyelesaikan kerja rumah. Ibu segera ke dapur kerana kerja dapu masih melambak.

Hari pun sudah larut malam. Adik seperti selalu masuk tidur awal. Ayah, ibu, kakak dan abang masih belum tidur. Denting jam dua belas semua telah tidur nyenyak. Malam mula diserkup pagi tiba-tiba berlaku keriuhan dalam rumah. Adik masih belum bangun. Adik yang tidur tidak berbaju sukar dilihat dalam malam yang gelap.

Ayah, ibu, kakak-kakak dan abang dihimpun di ruang tamu. Lampu dipadamkan. Keadaan begitu gelap gelita. Adik keluar perlahan-lahan dari bilik. Tidak ada sesiapa yang nampak adik dalam kegelapan malam itu. Adik nampak ada seorang lelaki mengacukan pisau kepada ayah, ibu, kakak-kakak dan abang.

Adik merangkak-rangkak perlahan.Dengan siku dan lutut ditekan ke lantai adik membongkok di belakang lelaki yang mengacukan pisau. Ayah sedar yang adik ada membongkok di belakang. Tiba-tiba ayah terpa dan tolak pemuda tersebut. Dia terjatuh ke belakang akibat dihadang tubuh badan adik. Dengan segera ayah menumbuk dan mengikat tangan lelaki yang masuk menceroboh dengan niat untuk mencuri itu.

Sebelum ayah mengheret lelaki itu ke balai polis ayah menghampiri adik. Ayah memeluk adik dengan erat-erat. Ibu, Kak Long, abang dan Kak Ngah hanya melihat air mata ayah menitis membasahi tubuh anaknya yang bertambah gelap di malam gelita. Ayah terus berlalu dengan lelaki tersebut diheret bersama.

8 comments:

  1. kreatif.. Encik bagaimana kita mahu menjadikan penulisan cerpen kita menjadi lebih kreatif dan ayat yang bombastik sikit?? -jawab-

    ReplyDelete
  2. Terima kasih Encik.
    Saya akan baca dan menganalisis cerpen ini

    ReplyDelete
  3. kesian adik.... mmmm.. mesej yang disampaikan menarik encik...

    ReplyDelete
  4. menarik jalan cerita ye. ringkas jew

    ReplyDelete
  5. amat membantu saya..terima kasih encik..

    ReplyDelete