Tuesday 31 July 2012

Teknik pengajaran dan pembelajaran

TEKNIK PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Definisi
Menurut Kamus Dewan (edisi ketiga), teknik adalah kaedah mencipta sesuatu hasil seni seperti muzik, karang-mengarang dan sebagainya. 

Menurut Edward M. Anthony mendefinisikan teknik adalah satu muslihat atau strategi atau taktik yang digunakan oleh guru yang mencapai hasl segera yang maksimum pada waktu mengajar sesuatu bahagian bahasa tertentu. 

Mengikut Kamaruddin Hj. Husin & Siti Hajar Hj. Abdul Aziz dalam bukunya Pengajian Melayu III : Komunikasi Bahasa, teknik boleh didefinisikan sebagai pengendalian suatu organisasi yang benar-benar berlaku di dalam bilik darjah di mana ia digunakan untuk mencapai sesuatu objektif. 

Teknik merupakan suatu alat yang digunakan oleh guru bahasa bagi menyampaikan bahan-bahan pengajaran yang telah dipilih untuk pelajar-pelajarnya. Teknik yang dipilih haruslah sejajar dengan kaedah yang digunakan dan seirama dengan pendekatan yang dianuti.

Teknik-teknik Pengajaran Bahasa 
  1. Teknik main peranan 
  2. Teknik permainan bahasa 
  3. Teknik latih tubi 
  4. Teknik bercerita 
  5. Teknik inkuiri 
  6. Teknik perbahasan 
  7. Teknik kuiz 
  8. Teknik sumbangsaran 
  9. Teknik soal jawab 
  10. Teknik simulasi 
  11. Teknik drama 
  12. Teknik perbincangan 
  13. Teknik forum 
  14. Teknik dialog 
Tujuan Teknik P&P
  1. Menarik Minat murid 
  2. Mengekalkan perhatian 
  3. Membangkitkan ras ingin tahu
TEKNIK LATIH TUBI
  • Teknik latih tubi adalah aktiviti pengulangan fakta-fakta atau kecekapan yang dipelajari.
  • Tujuannya untuk mencapai taraf penguasaan kemahiran disampimg menjamin kekekalannya.
  • Ia sesuai digunakan untuk pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu.
  • Boleh digunakan untuk mencapai sesuatu kemahiran seperti kemahiran menyebut perkataan, ayat-ayat atau mengingat fakta-fakta penting.
  • Melalui teknik ini pelajar akan mengalami proses mendengar, melihat, memikirkan maksud perkataan-perkataan serta tugasnya dalam situasi yang penggunaan perkataan-perkataan itu.
  • Berasakan pengajaran bahasa dengar dan sebut (audiolingual) yang biasanya digunakan dalam pengajaran bahasa kedua.
  • Mengikut teknik ini, perhatian akan diberikan kepada 5 aspek kebolehan menggunakan bahasa iaitu :
Sebutan (accent)
-menyebut patah-patah perkataan atau sukukata dengan betul termasuk intonasi yang membawa makna dalam sesuatu situasi.

Tatabahasa (grammar)
-penggunaan bahasa yang tepat mengikut hukum-hukum bahasa daripada semua aspek.

Perbendaharaan kata (vocabulary)
-meluaskannya dengan penggunaan imbuhan yang sesuai mengikut konteksnya dalam situasi tertentu.

Kefasihan (fluency)
-menggunakan perkataan dan lain-lain dengan cara spontan tanpa memikirkan apakah maksudnya.

Kefahaman (comprehension)
-latihan memahami soalan dan memberikan jawapan yang wajar.
  • Teknik ini dikenali juga dengan teknik menghafaz.
  • Antara kelemahan teknik ini ialah ia menghadkan kebebasan berfikir dan menumpukan daya kreativiti murid.
  • Namun begitu, teknik ini amat berguna dan sesuai untuk isi kandungan pengajaran yang memerlukan ikutan dan ulangan.

TEKNIK SIMULASI
  • Simulasi ditakrifkan sebagai satu situasi yang diwujudkan hampir menyerupai keadaan sebenar yang memerlukan pelajar berinteraksi sesama sendiri berdasarkan peranan masing-masing bagi membuat keputusan menyelesaikan masalah, isu atau tugasan semula.
  • Melalui teknik ini para pelajar dapat menggunakan kemahiran belajar seperti mengumpulkan maklumat, menjalankan temuramah dengan individu tertentu dan mencatat isi-isi penting.
  • Dalam proses ini pelajar digalakan untuk memberi pendapat, cadangan, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah berdasarkan peranan yang dipertanggungjawabkan. Memberi peluang kepada pelajar mengalami sendiri situasi dan masalah.
  • Melalui teknik ini pelbagai kemahiran dapat digabungjalinkan dan dipertingkatkan terutamanya dalam kemahiran lisan membaca dan menulis.
  • Dapat mewujudkan pelbagai aktiviti menarik yang menjadi sumber motivasi kepada pelajar untuk meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran.

TEKNIK MAIN PERANAN
  • Main peranan bermaksud melakonkan sesuatu situasi atau masalah atau peristiwa yang dianggap penting.
  • Pelajar diberi peranan dan bertindak sebagai watak-watak yang ditentukan dalam satu situasi yang disediakan.
  • Main peranan ialah dramatisasi yang tiada kaitan atau penghafalan skrip, apabila pelakon-pelakon cuba menyelesaikan atau menjelaskan situasi kepada kepada pelajar-pelajar lain supaya mempraktikan kepada diri mereka berdasarkan peranan yang dimainkan secara spontan.
  • Proses ini biasanya dimulakan dengan pemikiran masalah yang sesuai. Masalah ini dikemukakan kepada pelajar dengan cara membacakannya atau memperlihatkannya melalui filem, televisyen, mendengar rakaman dan sebagainya.

TEKNIK SUMBANG SARAN
  • Teknik ini dikenali juga sebagai percambahan fikiran (brainstorming) yang merupakan satu sesi perbincangan yang membolehkan setiap ahli kumpulan menyumbangkan pendapat dan idea.
  • Boleh didekati sebagai aktiviti permainan bahasa pada peringkat sekolah rendah dan berkembang menjadi aktiviti perbincangan yang lebh serius dan kompleks pada peringkat sekolah menengah, universiti dan latihan profesional.
  • Menekankan pengeluaran idea daripada pembelajaran yang kretif dan bukan pembelajaran secara analitis.

TUJUAN SUMBANG SARAN
  • Topik perbincangan sesuai dengan kebolehan dan minat murid
  • Garis panduan guru haruslah ringkas dan jelas
  • Semua cadangan dan idea yang dikemukakan haruslah dicatat untuk dibincangkan dalam sesi umum.
  • Setiap kumpulan mestilah memilih pengerusi yang betul-betul layak
  • Setiap ahli diberi peluang untuk mengemukakan cadangan
  • Pelajar digalakkan menyumbang seberapa banyak idea
  • Suasana perbincangan yang tidak formal hemdaklah diwujudkan.
  • Pastikan peruntukan masa untuk sesi sumbangsaran adalah patut dan mencukupi
  • Digalakkan menggunakan prinsip 5W 1H ( What? Why? Who? Where? When? How? )
  • Cadangan dan idea yang dikemukakan tidak boleh dikritik
  • Setiap kumpulan dimestikan mempunyai ahli-ahli yang pelbagai kebolehan

 TEKNIK PERMAINAN BAHASA
  • Permainan bahasa adalah salah satu cara dalam mempelajari bahasa melalui teknik permainan.
  • Penglibatan dalam permainan telah memberi peluang kepada pelajar memperolehi latihan intensif, pembelajaran bermakna dan sebagai alat dianogstik.
  • Kebanyakan aktiviti yang dijalankan akan menggunakan pelbagai kemahiran berbahasa pelajar antaranya kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. 
  • Permainan bahasa mempunyai hala tuju yang bertepatan dengan kemahuan dalam sistem pendidikan negara amnya dan Falsafah Pendidikan Negara khususnya. Hala tuju ini diinterapetasikan melalui objektif tersirat dalam permainan bahasa tersebut iaitu :
  1. merangsang interaksi verbal pelajar
  2. menambah kefasihan dan keyakinan
  3. menyediakan konteks pembelajaran
  4. bertindak sebagai alat yang dapat mengikis rasa bosan
  5. bertindak sebagai alat pemulihan, pengukuhan dan pengayaan

TEKNIK SOAL JAWAB
  • Merupakan teknik yang paling lama dan paling popular digunakan dalam bidang pendidikan
  • Pemilihan teknik ini bukan kerana ia mudah dilaksanakan, tetapi ia adalah bentuk yang berupaya mewujudkan interaksi guru dengan murid secara berkesan.
  • Teknik ini dilaksanakan dengan cara guru mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan isi pelajaran dan pelajar dikehendaki memberi tindak balas yang sewajarnya.
  • Soalan-soalan yang dikemukan memerlukan pelajar berfikir disamping dapat menguji dan menilai apa yang diajar.
  • Tujuan utama teknik soal jawab ialah :
  1. Untuk mengesan pengetahuan berbahasa murid
  2. Untuk menggalakkan pelajar berfikir secara kreatif, inovatif, logik dan kritis.
  3. Untuk mendorong pelajar menyusun dan menghuraikan bahan yang diajar.
  4. Soalan yang terancang dan bermutu dapat membantu menajamkan pemikiran pelajar di samping dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih dinamik dan berkesan.

TEKNIK BERCERITA
  • Merupakan salah satu pendekatan yang sesuai digunakan untuk membina kecekapan berbahasa kerana cerita merupakan sesuatu yang dapat menarik minat dan perhatian pelajar.
  • Latihan pemahaman, perluasan perbendaharaan kata dan tatabahasa dapat disampaikan.
  • Dapat meningkatkan penguasaan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis dalam kalangan pelajar.
  • Perkembangan cerita hendaklah diberi perhatian agar ada peringkat permulaan, kemuncak dan kesudahan cerita. Perhatian perlu diberi kepada teknik persembahan, suara, gerak laku dan kawalan mata.
  • Suara memainkan peranan yang penting dimana ia harus dikawal supaya jangan mendatar dan tidak menimbulkan kebosanan.
  • Langkah-langkah dalam persediaan teknik bercerita ialah :
  1. Pilih cerita yang sesuai dengan umur, kecerdasan dan minat murid-murid. Kemudian, sesuaikan pula dengan isi pelajaran yang hendak disampaikan.
  2. Kaji cerita itu dan cuba masukkan aspek-aspek bahasa.
  3. Hafazkan frasa atau ayat-ayat penting.
  4. Latih bercerita seolah-olah guru berada dihadapan murid-murid sekurang-kurangnya sekali sebelum menggunakan teknik ini.
  5. Guru bercerita dalam keadaan yang selesa.
  6. Guru boleh menggunakan gambar, objek-objek sebenar atau lain-lain BBM.
  7. Sediakan kad-kad perkataan, frasa-frasa atau ayat-ayat yang berkaitan dengan aspek-aspek bahasa yang hendak disampaikan.
 TEKNIK DRAMA
  • Sering digunakan dalam kaedah komunikatif dan kaedah yang berasaskan pendekatan induktif iaitu kaedah terus, elektif dan audiolingual.
  • Tujuan utama adalah untuk melatih pelajar menggunakan unsur bahasa, unsur paralinguistik (jeda, nada dan intonasi) dan bukan linguistik (mimik muka, gerak tangan, kepala dan dll) dengan berkesan dalam sesuatu interaksi bahasa atau perbuatan.
  • Penggunaannya dapat mendorong dan merangsang pelajar untuk menghubungkan perasaannya dengan matapelajaran yang dipelajarinya.
  • Pelajar bebas meluahkan sesuatu, membuat penemuan, memberi dan berkongsi sesuatu.
  • Drama berperanan sebagai ragam pembelajaran iaitu sebagai salah satu alat bantu pengajaran dan pembelajaran.
  • Dapat menimbulkan keseronokan dan keberkesanan pembelajaran kepada pelajar, di samping dapat menyuburkan sahsiah pelajar.

TEKNIK INKUIRI
  • Teknik ini dikenali sebagai teknik tinjau siasat.
  • Merangkumi aspek-aspek soal selidik untuk mendapatkan jawapan atau kesimpulan yang berorientasikan masalah.
  • Dapat menimbulkan daya refleksi dikalangan pelajar.
  • Merupakan satu kaedah pengajaran bahasa yang dinamik untuk menimbulkan minat dan daya kreativiti di kalangan pelajar kerana pelajar sering mengemukakan soalan ‘bagaimana’. Oleh itu, ia dapat melatih pelajar mengemukakan pelbagai soalan.
  • Ciri lain yang terdapat dalam teknik ini termasuklah memberi latihan yang sebenar dalam proses kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. 
  • Pengendalian teknik inkuiri ialah :
  1. Proses mengenali masalah
  2. Mengkaji ramalan
  3. Mengumpul maklumat
  4. Menganalisis
  5. Membuat rumusan

TEKNIK PERBINCANGAN
  • Teknik perbincangan didefinisikan sebagai satu aktiviti mengeluar dan mengulas pendapat tentang sesuatu tajuk. Tujuannya untuk melatih pelajar mengeluarkan fikiran dan pendapat dengan bernas (Kementerian Pendidikan 1990:85).
  • Teknik perbincangan adalah satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran berbentuk perbualan dan ia dilakukan dikalangan pelajar dibawah penyeliaan dan kawalan seorang guru.
  • Melibatkan aktiviti perbincangan antara pelajar secara bekerjasama dalam mengeluarkan pandangan masing-masing mengenai sesuatu perkara atau topik yang diberi. Misalnya bermesyuarat, forum, seminar, bengkel, bahas dan debat.
  • Dalam perbincangan ini akan memberi peluang dan ruang bagi mereka untuk bercakap terutama dalam aktiviti separa formal. Latihan sebegini bukan sahaja sekadar mempertajamkan minda malah dapat melatih kepetahan pelajar untuk bercakap dan mengeluarkan pendapat.
  • Peranan guru akan berubah-ubah kerana aktiviti ini dikendalikan oleh pelajar sendiri.
  • Teknik perbincangan boleh dijalankan mengikut langkah-langkah berikut :
  1. Guru menarik perhatian murid kepada tajuk perbincangan yang akan dijalankan.
  2. Guru membahagikan murid kepada beberapa kumpulan dan kemudian memilih seorang ketua yang boleh dipertanggungjawabkan untuk memastikan semua aspek perbincangan dapat dijalankan dan dicapai.
  3. Guru kemudian menugaskan setiap kumpulan mendapatkan maklumat dengan cara berbincang dengan ahli-ahli kumpulan.
  4. Ketika perbincangan guru harus bergerak dari satu kumpulan ke satu kumpulan yang lain, menegaskan perkara-perkara yang perlu dibincangkan dan mengarahkan perbincangan menghala kearah perkara yang betul.
  5. Setelah tamat perbincangan guru boleh meminta laporan daripada setiap kumpulan. Hasil perbincangan boleh dicatatkan dipapan tulis mengikut mana-mana yang penting. Setelah dibincang guru bolehlah menjalankan aktiviti penulisan dan sebagainya.

TEKNIK FORUM
  • Forum merupakan satu sesi perbincangan yang melibatkan beberapa ahli panel untuk mencanai fikiran dan mengemukan pendapat tentang sesuatu tajuk, dimana ia dijalankan secara formal.
  • Teknik berforum merupakan salah satu aktiviti lisan yang sesuai, di mana pelajar akan berkongsi pengetahuan dan pengalaman secara langsung untuk meningkatkan kemahiran menyampaikan idea dan fikiran dengan jelas, objektif, kreatif dan rasional.
  • Untuk menjayakan aktiviti ini, tajuk forum yang dipilih haruslah mudah, menarik dan mencabar selaras dengan kemahiran, pencapaian serta peringkat umur pelajar.
  • Persediaan yang rapi perlu dibuat sama ada sebelum, semasa dan selepas aktiviti.

TEKNIK PERBAHASAN
  • Bahas ialah pengucapan sama ada menyokong atau membangkang sesuatu pendirian dengan alasan yang logik dan idea yang tersusun.
  • Teknik perbahasan ini sesuai diajar untuk semua peringkat pelajar di sekolah menengah.
  • Antara manfaat teknik ini ialah :
  1. Memperkembangkan kecekapan berkomunikasi dengan berkesan
  2. Melatih berfikir dengan pantas dan melahirkan buah fikiran dengan tepat dan teratur
  3. Menguasai kemahiran berbahasa dengan menggunakan struktur ayat yang betul dan laras bahasa yang sesuai.
  4. Mengemukakan hujah secara rasional, kritis dan kreatif.
  5. Melatih kemahiran mendengar, menaakul, berhujah dan membidas.
  6. Guru perlu mengambil inisiatif sendiri untuk memupuk kebolehan berbahas di kalangan pelajar.
  7. Perkembangan kebolehan berbahas dengan sendirinya akan membawa kepada perkembangan kemahiran berbahasa, perkembangan mental yang positif, peningkatan ilmu dan pemupukan sifat-sifat kepimpinan.

TEKNIK KUIZ
  • Diperkenalkan pada tahun 1940 di England melalui Perbadanan Penyiaran British (B.B.C).
  • Aktiviti kuiz bermula di negara ini setelah dimasukkan dalam masa pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah Inggeris dan diikuti di sekolah-sekolah Melayu.
  • Tujuannya ialah :
  1. Guru dapat mengukuhkan pengajaran dan memantapkan pemahaman pelajar mengenai topik-topik tertentu.
  2. Pelajar dapat mengulang kaji sambil bergembira.
  3. Pelajar dapat melupakan permasalahan mereka dengan mengemukakan soalan-soalan secara teka-teki.
  4. Pelajar dapat belajar kaedah cara berfikir yang baru.
  5. Membantu pelajar memahami sistem bahasa Melayu terutama dari segi bentuk, makna dan penggunaan bahasa yang tepat.Terdapat 2 bentuk pengajaran dan pembelajaran bahasa melalui teknik ini iaitu :
  • Ia dijalankan secara spontan pada peringkat permulaan, perkembangan dan penutup. Ini bermakna kuiz dapat dijadikan sebagai aktiviti rangsangan, pengayaan, pemulihan dan pengukuhan.
  • Kuiz sebagai aktiviti pertandingan meliputi pertandingan antara pelajar.

Saturday 28 July 2012

CERPEN NUKILAN SAYA

Derita Sesudah Bahagia
Hj. Abdul Rani Bin Hassan

I

Mata yang bersinar telah lama terlelap. Aduhai! Mata kenapa kau terlalu cepat meninggalkan keindahannya. Alangkah indahnya mata itu. Tapi sayang pada kebahagian ijabkabul hari ini kau terlalu cepat menutup kelopak mu.

Di renung pula seulas bibir merah yang terkatup rapat rapat pada malam yang kediginan itu. Diperhatikan pula hidung yang mancung bak seludang kelapa beriak-riak kecil dari hembusan nafas yang keluar secara teratur.

Angin janganlah kau menampar-nampar diri. Hentikan sindiranmu. Hati sabarlah dikau bukankah ia sudah menjadi milik mu. Jiwa dapatlah kau bertenang janganlah kau terdorong oleh nafsumu. Sabarlah.

Jangankau turut ikut kata teman-teman mu yang masih belum faham apakah hakikat perkahwinan itu. Kau perlu tau perkahwinan itu bukan penyudah nafsu. Tapi itu hanya salah satu yang kecil sahaja dari perkahwinan itu.

Damaikanlah segala perasaan diri pada malam pertama ini. Kau perlu tau bukan bererti malam pertama itu kau terpaksa berjuang dalam kenakalan mu. Bukankah ia sudah sah bagi mu. Tenanglah jiwa ku tenanglah. Pandanglah pagi esok sebagai bermulalah taraf mu tidak bujang lagi tapi kau sekarang sudah bergelar suami. Ya! Sebagai seorang suami.

II

Ingat lagikah dikau hai sang awan. Bertapa rumitnya indin ku mengayam mengkuang menjadi tikar. Tiap-tiap kali ku anyam ia pasti terlerai. Aku tidak pandai bermadah yang indah indah yang membolehkan bulan tertidur diribaan matahari. Aku juga tidak pandai mengulung kata-kata yang dapat ku lampirkan melalui warkah-warkah biru. 

 Tapi aku adalah seperti sang ombak yang tidak malu-malu memukul pantai walaupun walaupun pandai tidak bersatu dan seringkali ombak terlerai di pergigian pantai. Tapi bukankah ombak tidak tahu akan erti kepenatan dan kejemuan.

Bulan dan bintang pasti menjadi pengganti pada malam hari bagi menghilang rindu yang datang menyesak dada. Bulan dan bintang melambangkan kedamaian hati. Maka terubatlah hati yang rindu.

Raiha begitulah namanya yang mula-mula ku ketahui. Itu pun dari teman-teman rapatnya. Semenjak pertemuan ku yang pertama disatu majlis hari jadi teman ku telah membuat diri ku menjadi pemburu. Aku memburu cinta setiap masa. Setiap petang selesai saja kerja ku di pejabat akan ku pandu kereta menuju ke pusat pengajian tinggi. Di mana Raiha masih meneruskan pengajiannya.

Dari pemburuan ku tahulah aku yang Raiha anak dari golongan yang mewah. Itu tidak akan menjadi masalah bagi diri ku. Diri ku sendiri tidak kurang dalam perkara itu. Kalau dipandang dari segi darjat memang kami duduk sama rendah berdiri sama tinggi. Tapi cinta ku hanya ingauan pada malam hari.

Aku bagaikan menjadi seorang yang sasau dengan penderitaan ini. Segala-gala kehidupan ku tidak tersusun lagi. Seringkali aku jadi seorang pemikir yang maha hebat. Tapi aku masih boleh dianggap beruntung kerana dalam diri ku ada gambarnya sekeping yang ku pinta dari sahabatnya dengan nilai wang. Bertapa cinta yang ingin ku bina. Ia adalah yang pertama lahir dari diiri ku. Ia lahir dari kesucian hati yang murni dan ikhlas. Tapi kenapa engkau tidak mengerti Raiha. Aku sering kali menjadi kaku dan bisu bila terserempak dengan Raiha. Kenapakah begitu?

Petang itu aku menjadi penunggu yang setia lagi bagi menanti kepulangan Raiha. Alangkah menariknya perkara yang tidak dirancangkan. Raiha tidak kembali ke rumah rupanya dia bersiar-siar di taman terlebih dahulu. Ku ingin mengatakan manis seribu kali kalau aku berkata demikian. Mengapa tidak? Suasana seperti ini amat sukar untuk ku temui , Raiha bersiar-siar k e kebun bunga hanya seorang diri.

“Apa khabar?”

Tak ada jawapan. Raiha duduk membatu di bangku batu. Hati ku bagaikan luruh sekeping sekeping. Kenapa begini kejam. Aku akan mencuba lagi.

“ Boleh saya duduk!” Tanpa menunggu jawapan aku melabuhkan punggung ku di atas bangku.

“ Tunggu siapa. ” Bisukah dikau. Pasti pada kali ini aku perlu berterus terang kalau tidak aku sendiri yang akan kecewa.

“ Raiha sebenarnya aku sudah lama memerhatikan dirimu tapi seringkali lidah kelu bagaikan dipaku untuk berkata. Sama ada dikau percaya atau tidak, sama ada dikau terima atau tidak sama ada aku bagaikan pungguk tidak menjadi halangan bagiku. Hatiku akan berasa aman dan tenteram selepas ini ………! Raiha sebenarnya aku sudah amat lama menyintai akan diri mu.”

Aduhai berat benar kah batu di bibirmu. Hati ku puas bila sudah berkata tapi kenapa dikau masih berdiam diri. Cakaplah Raiha kalau sudi kata sudi kalau tidak katakana tidak. Tapi minta-minta janganlah kau kata tidak. Tidak……….

“ Tak apalah Raiha mungkin aku tidak sesuai bagi dirimu. Tapi aku ada satu permintaan terakhir diri mu.”

 Aku mengeluarkan poterat Raiha dari saku seluar. Kemudian aku menatap Raiha yang membelakangkan mukanya dari ku. Lama aku menatap poterat tersebut.

“ Aku menganggap gambar ini adalah seperti dikau. Sekarang aku merenung dengan penuh kecintaan seperti Romeo ke atas Juliet.

Aku lihat muka Raiha sudah merah padam. Dia seperti gelisah. Tangannya seperti menggosok mata dan sebentar benar pula mengesat dahi.

“Raiha, aku pergi dulu”. Lalu aku pun bangun untuk menuju ke kereta. Hatiku berasa lega dan puas. Hasrat ku telah diluahkan. Aku tidak perlu bimbang apa apa lagi.

“ Saidan!”

Aku menoleh dan melangkah terus.

III

Pagi menjelang lagi setelah malam. Pukul berapa terlelap pada malam tadi aku tak sedar. Jauh ingatan ku melayang-layang bagai merakam kembali peristiwa lalu. Tapi pagi ini dan pagi pagi yang akan datang Raiha sudah tidak ke mana lagi. Dia sudah berada dalam rumah ini. Dia sudah menjadi isteriku yang sah di sisi syarak.

Cuti perkahwinan kupanjang lagi. Banyak lagi ruang dan masa untuk ku bergembira. Ku bangun malas dari katil. Raiha menjenguk kepala ke kamar tidur. Aku menarik tangan Raiha ke sisi.

“ Eh abang ni belum hendak mandi agaknya.”

Raiha melarikan dirinya kembali ke dapur. Alangkah bertanggungjawabnya perempuan terpelajar.

IV

Petang itu kami bersiar-siar lagi. Alangkah indahnya memori petang. Anginnya yang lembut-lembut nyaman semakin mengetarkan hati kami. Kami berkunjung ke sebuah kawasan hijau yang lapang. Sunyi dan sepi. Lama kami duduk di atas hamparan permaidani hijau sambil mematah-matah kayu. 

Percakapan tidak bererti lagi pada masa itu. Kami sudah bercakap. Kami, Kami sudah puas tersenyum. Kami, Kami sudah puas ketawa. Alangkah indahnya cinta kami apabila piala hati bersatu. Kasih sayang kami kasih yang suci. Tidak ada perlanggaran hukum syarak tidak ada perlanggaran adat. 

Kami sudah sah diijab kabul. Kami bebas berjalan. Kami bebas ketawa. Segalanya-galanya adalah untuk kami berdua. Kami melihat serentak daun kering yang melayang-layang gugur dari ranting sena di tiup sang bayu. Cinta bukan seperti daun kering. Dahan hanya akan menerima pautan daun bila ia masih segar. Tetapi apabila daun sudah kekeringan dahan tidak membela daun-daun yang gugur dalam kelesuan.

Bukankah kejam cinta seperti itu. Sebenarnya aku tidak suka menggunakan cinta dalam hidup ku. Bagi ku cinta adalah lambang kepura-puraan. Sering kali pabila aku mendengar orang menyebut, “Kucinta! Kucinta! Kucinta,” aku merasakan seperti ia apa berkata ada pada cinta. Cinta memang butaaa.

Sayang adalah lebih mesra dan ada kelembutan dalam perkataan seperti itu. Aku amat kasih dan sayang kepada isteri ku seperti aku amat kasih dan saying kepada ibu ku dan bapa ku. Tapi kesayangan ini kadang kadang ingin ku membatasi. Kebongsuan diri ku menyebabkan menyebabkan aku ditimang tinggi-tinggi sampai ke puncak awan. 

Abangku yang dua orang sudah beristeri dan tinggal sebumbung isteri mereka. Kakak ku yang tiga orang juga sudah mengikut pasangan masing-masing dengan dunia mereka. Jadi dalam rumah kami yang besar cuma tinggal aku, ayah, ibu dan seorang pembantu rumah dan kini bertambah pula seorang lagi iaitu buah hatiku.

Awan masih putih lagi. Tapi kami rasa kami perlu beredar dari sini. Terima kasih rumput-rumput kerana sudi menjadi hamparan kami. Ku terharu angin kerana dikau memberi kesegaran dan suasana romatik kepada kami. Terima kasih semua kami akan beredar pada hari ini. Pasti pabila ada kelapangan kami akan bermadu di sini lagi.

Aku memimpin tangan isteri munuju ke kereta. Raiha akur dengan ajakan ku. Gembiranya hati kalau punya isteri yang tidak banyak kerenah. Senang diajak berbicara. Aku mengajak bersiar dia turut bersiar dan kini aku mengajak makan dan dia sudi untuk mengikuti ku bak kata dia dengar, dia patuh tanpa banyak bersoal.

“Raiha hendak pandu kereta.”

“Hendak.”

“Rai, pandai pandu kereta.”

“Tak.”

“Okey abang ajar Raiha pandu kereta. Raiha duduk sebelah abang. Mula-mula kaki kiri, Raiha tekan pada ‘cluth’ kereta kemudian tangan kiri masuk ‘gear’. Setelah Raiha tekan minyak perlahan-lahan dan lepaskan ‘cluth’ perlahan-lahan. Kereta akan bergerak. Kalau hendak berhenti kaki kanan tekan ‘break’ dan kaki kiri tekan ‘cluth’. Boleh!”

''Mula-mula Raiha pandu abang duduk sebelah. Haaa! Bagus Raiha sudah dapat memandunya. Sekarang abang keluar, Raiha pandu sendiri. Berani?”

“Berani.”

Raiha pun memandu kereta mula-mula perlahan-lahan. Aku mengikutinya dari belakang, dengan berlari-lari anak. Tiba-tiba kereta itu meluncur laju. Dadaku berdegup kencang.

“Abang! Tolong, tolong!”

“Berek Raiha.” Aku menjerit sambil berlari seberapa kencang yang boleh. Tiba-tiba kereta berhenti. Aku melihat Raiha ketawa panjang. Aku jadi bingung kerananya.

“Sebenarnya Raiha pandai memandu kereta, kerana ayah telah mengajar Raiha untuk memandu kereta. Raiha minta maaf,ya…kalau abang marah.”

“Tidak! Abang tidak marah. Tapi lain kali jangan buat begini kerana abang lesu jadinya. Bukankah Raiha tahu yang abang tidak dapat bersendirian lagi.”

Kami rasa sudah agak lama kami berjalan-jalan dan bersiar-siar. Awan pun sudah kemerah-merahan. Senja sudah hampir tiba untuk mengantikan kedamaian petang buat kami. Kereta kupandu untuk kembali ke rumah.

V

Hari ini kami keluar lagi untu kedamaian kami. Kalau semalam kami ke kawasan yang kehjijauan tapi hari hari ini kami ke taman pula. Kami pergi ke Safari pada petang ini. Sebenarnya rumah kami tidak jauh dari taman tersebut.

Kami tidak dibenarkan keluar di kawasan yang mempunyai binatang liar. Sepanjang lawatan kami di kawasan ini binatang-binatang liar tadi menghampiri kereta kami.

Sesudah itu kami menyaksikan kehebatan burung nuri. Kemudian kami lihat pertunjukan-pertunjukkan yang diadakan pada hari itu. Banyak juga gambar haiwan yang kami rakam untuk menjadi kenangan kami.
“Raiha hendak tunggang kuda.”

“Hendak.”

“Pandai.”

“Tak.”

“Mari kita pergi ke kandangnya, nanti penjaganya akan menunjukkan pada Raiha cara-cara untuk mengendalikannya.”

“Raiha hendak naik kuda mana?”

“Yang coklat kemerahan tu!”
“Boleh encik tunjukkan kepada isteri saya untuk mengendalikan kuda tersebut?”

“Boleh.”

“Okey, Raiha sekarang pergi dengar macam mana hendak kendalikan kuda tersebut.”

“Mula-mula cik puan perlu menepuk kuda tersebut untuk merendahkan badannya. Sesudah itu cik puan naik. Tangan dan kaki memainkan peranan penting dalam mengendalikan kuda tersebut. Cik puan jangan bimbang, ini semua kuda adalah kuda yang jinak.”

Raiha sudah berada di belakang kuda tersebut. Kuda itu menolak-nolak kaki belakangnya. Kemudian kuda itu mula menapak perlahan-lahan. Tiba-tiba kuda itu memecut deras.

“Abang, tolong! Tolong!”

“Tuan selamatkan isteri saya.”

Aku melihat penjaga kuda itu melompat ke atas seekor yang lain. Aku turut berlari kencang untuk menyaingi larian kuda tadi. Segala sendi-sendi badanku seakan-akan menggigil. Tiba-tiba kuda itu berpatah balik ke arahku. Aku lihat Raiha ketawa berdekah-dekah lagi. Apabila hampir padaku Raiha melompat turun dari kuda seakan-akan seorang yang sudah terlalu mahir.
“Abang, marah?”
“Tidak.” Aku menjawab dalam ketawa yang dibuat-buat.

“Sebenarnya Raiha pandai menunggang kuda kerana di rumah kami yang lama dahulu ada beberapa ekor kuda yang dipelihara.”

“Aku juga yang tidak berfikir panjang. Bukankah Raiha anak yang tunggal dalam keluarganya. Tentulah dia telah diberi segala erti kehidupan ini. Dan lagipun bukankah baapa Raiha seorang yang bergelar “Dato’”.
“Terima kasih encik,”ucapku pada penjaga kuda itu. Lalu kami pulang ke rumah.

VI

Air tenang sedikit berombak-ombak halus. Kaki langit bagaikan merata di hujung pantai. Langit senja kemerah-merahan. Sekali-sekala ombak bergulung-gulung ke pesisiran pantai. Angin pantai bercampur baur bersama-sama angin nyiur.

Alanglah indah dan tenang memori kawasan pantai Air Papan dirembang petang ini. Kami anggap ini perjalanan akhir kami meraikan suasana perkahwinan kami. Kalau kelmarin kami ke kawasan kehijauan, semalam pula diperhutanan dan hari ini kami ke kawasan kebiruan, ketenangan dan kedamaian. Angin mengelus-elus lembut tubuh kami.

Gobok-gobok buruk banyak berselerak di kawasan pantai. Inilah kawasan yang kaya dengan keindahan semulajadi dan kemisikinan mencengkami masyarakat setempat. Buat masa ini perkara-perkara seperti itu tidak mendapat tempat dalam benak fikiranku. Kami datang untuk berhibur, untuk bersuka dan untuk apa sahaja yang boleh menggembirakan diri Raiha dan diriku sendiri.

Lama kami merenung pantai yang landai. Tiada kata bicara buat masa ini. Kata-kata sudah tidak memberi erti lagi di pantai kedamaian ini. Semuanya bisu dan kelu. Lama aku memerhatikan wajah Raiha yang dihembus angin pantai. Sekali-sekala Raiha menyelak anak rambutnya yang dihembus angin. Wajah Raiha menggambarkan seribu ketenangan. Lembut dan ayu.

“Raiha hendak mandi?”
“Hendak.”

“Kalau Raiha hendak mandi… mandilah seorang abang rasa sejuk untuk turut sama mandi di pantai.”

“Baiklah Raiha mandi seorang, abang tunggu Raiha di pesisiran pantai. “

Setelah menukar pakaian, Raiha pun menuju ke gigi air untuk mandi. Raiha hanya bermain-main di tepi pantai. Perlahan-lahan Raiha semakin jauh dari pesisiran pantai. Langkah Raiha sungguh berhati-hati. Pada petang begini ombak memukul hebat.

Ombak besar datang bergulung-gulung membawa Raiha lebih jauh dari pantai. Raiha sudah berada jauh ke tengah laut. Tangan Raiha terkapai-kapai seperti minta tolong. Suara Raiha sayup-sayup kedengaran tapi tidak jelas.

Ombak masih memukul pantai tanpa ada hentinya. Lama kuperhatikan gelagat Raiha mandi di pantai. Aku melihat tangan Raiha terkapai-kapai seperti minta tolong. Aku tertawa senang. Ibu jari, kugoyang goyangkan bagaikan mengejek Raiha. 

Aku tahu Raiha cuba hendak menipu diriku lagi. Bukankah aku sudah mengalami guruan Raiha sebanyak dua kali. Sekali semasa memandu kereta dan sekali semasa menunggang kuda. Ah! Raiha kenapa kau suka bergurau seperti itu.

Aku tertawa senang. Hah, Raiha! Raiha! Tiba-tiba sekumpulan nelayan dalam tergesa-gesa melompat ke air. Hatiku mula berdebar kencang. Tanpa berfikir aku segera terjun ke air. Aku berenang dan terus berenang. Raiha. Oh, Raiha! Aku semakin jauh dari kawasan pantai.

Kelibat Raiha sudah tidak kelihatan. Aku menyelam dan terus mencari. Hatiku semakin berdebar kencang. Raiha masih tidak kelihatan. Kudratku semakin lemah. Semuanya gelap dan sepi.

PENGACARA MAJLIS

KATA-KATA SAPAAN

SELAMAT DATANG

KEPADA ALLAH KITA RAFIKKAN
REDALAH INSAN KEPADA TUHAN
BERKATLAH MAJLIS KITA AMINKAN
BIARLAH LANCAR KITA USAHAKAN

BACAAN DOA

AMIN AMIN YA RABBAL ALAMIN,
SYUKRAN WA JAZAKALLAHU KHAIRAN
MAJLIS MERAKAMKAN UCAPAN TERIMA KASIH

TUJUAN MAJLIS

UCAPAN

BILA BERTUTUR DENGARI KATA
BILA BERBICARA RENUNGI IA
BILA NASIHAT AMATI SENTIASA
ITULAH TANDA HIDUP BERMAKNA

BILA TERLINTAS DI BENAK FIKIR
PASTI ITU HENDAK DISAMPAI
APA DISAMPAI BERTUJUAN
ADA ARAH ADA MANDAT
ADA MATLAMAT HARUS DISASAR
TIDAK GELINCIR DARI LANDASAN

ALU-ALUAN


YANG DITUNGGU SUDAHPUN TIBA
YANG DINANTI SUDAHPUN BERTANDANG
TIBANYA BERMANIS MUKA
TANDANGNYA DISAMBUT GEMBIRA
KINI TIBALAH WAKTU YANG DINANTI-NANTIKAN
IAITU UCAPAN PERASMIAN

MAJLIS MEMPERSILAKAN....
UNTUK MENYAMPAIKAN UCAPAN
DENGAN PENUH TAKZIM DIPERSILAKAN.

MAJLIS MERAKAMKAN JUTAAN DAN RIBUAN TERIMA KASIH KEPADA YANG BERBAHAGIA....

YANG BERHORMAT DATO
......................................

BERBUDI MENGENANG JASA
BERBAHASA BUDAYA KITA
MEMBERI TANDA BUDI DITERIMA
MENERIMA ITU TANDA MURAH REZEKINYA

SEBAGAI TANDA PENGHARGAAN..
TERIMA KASIH.. KERANA SUDI MENYAMPAIKAN..

SAPAAN

YANG ILMUNYA DAPAT DITIMBA
YANG ALIMNYA DAPAT DIBANDING
YANG BUDINYA TAHAN LASAK
YANG BERCAKAP BERLIDAH ASIN

TEMPAT ORANG MEMINTA PETUA
TEMPAT ORANG BERGANTUNG TUAH
TEMPAT ORANG MENGADU NASIB
TEMPAT KUSUT DISELESAIKAN

BADAI TELUK HIMPUNAN KAPAR
BAGAI TUNJUNG TUMPUAN ANGIN
BAGAI PAYUNG KEMBANG SEKAKI

SAPAAN PENUTUP MAJLIS

DENGAN BERAKHIRNYA ACARA ITU TADI,
MAKA BERAKHIRLAH...

SELAKU PENGACARA MAJLIS, SAYA (NAMA) MOHON RIBUAN KEMAAFAN SEKIRA TERDAPAT KESALAHAN DAN KECACATAN SEWAKTU MENGENDALIKAN ACARA INI.

TERIMA KASIH DIUCAPKAN KEPADA PIHAK PENGANJUR,

URUS SETIA DAN SEMUA YANG TERLIBAT SECARA LANGSUNG DAN TIDAK LANGSUNG, TERIMA KASIH JUGA KEPADA PIHAK (TEMPAT).. DAN JURUTEKNIK YANG MELAKSANAKAN TUGAS PADA MALAM INI.

DIJEMPUT TETAMU KEHORMAT, PARA PEMAKALAH, PESERTA DAN HADIRIN HADIRAT SEKALIAN MENIKMATI JAMUAN YANG DISEDIAKAN.

SEMOGA KITA BERTEMU LAGI WABILLAH..

Wednesday 25 July 2012

ASPEK APRESIASI SASTERA

APRESIASI TEKS 

Kaedah Apresiasi
  1. Diasaskan daripada pendapat bahawa sastera adalah adunan bahasa dan pemikiran yang melibatkan kehidupan manusia dan alam sekitarnya.
  2. Merupakan ciptaan seni yang mendukung syarat-syarat keindahan yang menyangkut isi,bahasa dan bentuk,keselarasan dan keseimbangan serta diperkaya dengan pemikiran yang berharga.
  3. Sastera ialah hasil ciptaan seni, imaginatif dan akal budi sebagai ciri utama.
  4. Gabungan ketiga-tiga unsur ini menjadikan karya tersebut sebagai medan perjuangan bagi pengarang untuk menyatakan perasaan dan cita-cita atau harapan dan impian mereka serta mempamerkan hubungan manusia dan kemanusiaan dengan persekitaran.
Kaedah Mengalami dan Menghayati
  1. Tanggapan pembaca berbeza kerana sesuatu pengalaman dikaji mengikut apa yang ditanggapi oleh pembaca sendiri. 
  2. Setiap individu mempunyai pengalaman yang tersendiri iaitu hasil daripada himpunan pengalaman yang dilaluinya dan nilai-nilai pengalaman itu sendiri.
  3. Oleh itu, pengkajian kesusasteraan haruslah menekankan apa yang dialami oleh pembacaan dan sejauh mana pula seseorang pembaca itu dapat menghayati rakaman penulis melalui bahasa yang disampaikan.
  4. Kaedah mengalami dan menghayati menekankan penikmatan.
  5. Aspek-aspek kesusasteraan yang dipelajari itu dapat dirasakan dan dihayati sepenuhnya.Penghayatan itu didasarkan kepada himpunan pengalaman pelajar itu sendiri dan ini digunakan untuk mendapatkan sesuatu pengalaman baharu, impian mereka serta mempemerkan hubungan manusia dan kemanusiaan dengan persekitaran.
TEMA

Tema ialah persoalan utama yang menjadi gagasan atau idea utama yang menjadi dasar penceritaan pengarang dalam sesebuah karya.

Gagasan utama yang menjadi tunjang cerita biasanya akan menjadi inti cerita. Hasim Awang (1984) menjelaskan bahawa tema ialah idea utama yang menjadi inti kepada sesebuah cerita.

Tema hanya akan dapat dikesan setelah seseorang pembaca selesai membaca sesebuah karya. Seterusnya, pembaca akan membuat rumusan tentang inti pati cerita yang disampaikan oleh pengarang.

PEMIKIRAN

Satu gagasan yang memperlihatkan idea pengarang yang berkaitan dengan falsafah yang diutarakan dalam sesebuah karya. Biasanya kajian tentang pemikiran ini dilihat dalam karya yang berbentuk drama. Pemikiran yang hendak disampaikan oleh pengarang boleh dikesan melalui dialog yang diungkapkan oleh watak-watak dalam sesebuah drama itu.

PERSOALAN

Persoalan ialah isu atau permasalahan lain yang menjadi idea sampingan kepada gagasan utama pengarang. Gabungan beberapa persoalan pula akan membentuk tema bagi sesebuah cerita.Sebagai contoh, persoalan yang biasa dikemukakan oleh pengarang adalah seperti yang berikut:
  1. Persoalan perjuangan
  2. Persoalan pendidikan
  3. Persoalan percintaan
  4. Persoalan kemiskinan
  5. Persoalan perniagaan
  6. Persoalan sosial
  7. Persoalan agama
PLOT

Perkembangan cerita antara pengarang adalah tidak sama misalnya ada yang dimulai dengan kronologi(permulaan,perkembangan,klimaks dan peleraian). Merupakan aksi /peristiwa yang berkembang dan berhubung antara satu sama lain ( permulaan, aksi naik/perkembangan konflik)perumitan, puncak,pelaraian.

Binaan Plot:

  1. Permulaan
  2. Perkembangan/konflik – aksi menaik
  3. Perkembangan/konflik – perumitan
  4. Puncak
  5. Peleraian.
Peristiwa – perlu ada pertentangan antara dua kuasa atau tenaga dan berlakunya sebab dan akibat.
Aksi watak – digerakkan oleh sebab pengembaraan jalinan peristiwa,pemikiran serta sebab dan akibat.

Teknik Plot/Penceritaan

1. Teknik Dialog:
Perbualan-perbualan antara watak bagi menggambarkan sesuatu peristiwa atau untuk menyampaikan pemikiran pengarang.

2. Teknik Imbas Kembali
Peristiwa yang diingat kembali iaitu yang menggambarkan bagaimana watak mengenang atau mengimbau masa lalu.

3. Teknik Imbas Muka
Ramalan terhadap peristiwa akan datang. Teknik ini menyebabkan pengarang terpaksa merancang serta membayangkan kejadian masa akan datang yang belum pasti.
4. Teknik Monolog
Perbualan dengan diri sendiri– dengan bayang-bayang sendiri/benda/binatang.Menggambarkan kehairanan kekaguman tetapi tidak dinyatakan kepada orang lain.

5. Teknik Monolog Dalaman
Aliran kesedaran untuk mengungkapkan fikiran dan pengalaman batin termasuk emosinya. Watak akan berkonflik dengan diri sendiri.Menyebabkan soal jawab dalam hati watak kerana kadang-kadang logik tidak terkawal.

6. Teknik Saspens
Peristiwa yang menarik perhatian pembaca untuk mengetahui perkara seterusnya.Keadaan ini menyebabkan pembaca berasa teruja,tegang,cemas,bimbang dan tertanya-tanya ketika menunggu sesuatu atau menghampiri sesuatu klimaks.

7.Teknik Kejutan

Perubahan peristiwa tanpa diduga oleh pembaca. Hal ini menyebabkan pembaca berasa teransang kerana sesuatu yang tidak disangka-sangka akan berlaku kepada watak atau sesuatu peristiwa.

WATAK DAN PERWATAKAN

Watak

Watak ialah pelaku yang memainkan peranan untuk menghidupkan plot sesebuah cerita atau peristiwa. Watak dalam sebuah cerita boleh terdiri daripada manusia seperti binatang yang diberikan sifat manusia.

Perwatakan
Perwatakan merupakan cirri-ciri atau sifat-sifat yang terdapat dalam diri watak.Perwatakan bermaksud kelakuan,sifat,perangai, budi pekerti,tingkah laku, tabiat,pembawaan, akhlak dan moral.

 Penonjolan ini dapat dikesan oleh pembaca melalui pelbagai cara yang digunakan oleh pengarang. Pembaca akan mengesan perwatakan seseorang atau sesuatu watak melalui empat kaedah iaitu:

  1. Secara langsung iaitu perwatakan atau cirri-ciri watak itu diterangkan dan diperjelaskan secara terus-terang.
  2. Perwatakan yang diperincikan melalui dialog sama ada watak itu sendiri ataupun oleh watak lain.
  3. Perwatakan yang digambarkan melalui perbuatan ataupun aksi watak.
  4. Perwatakan yang dilukiskan berdasarkan perkembangan jiwa sesuatu watak.
Watak Utama

Watak yang terlibat hampir keseluruhan cerita. Misalnya watak putih, watak bundar, watak bulat, watak protagonis.
  1. Watak Bulat/Bundar
  2. Watak penting – berkembang dan berubah.
  3. Watak Sampingan  – Watak yang bukan keseluruhan cerita.
  4. Watak pipih – tidak berkembang (watak pembantu)
  5. Watak protagonis – ciri-ciri baik/ watak putih
LATAR

Latar merujuk kepada perihal masa, tempat dan masyarakat Jenis latar dapat dibahagikan kepada tiga iaitu:

Latar tempat

Tempat berlakunya peristiwa,iaitu tempat sebenar dari sudut geografis.Hal ini berkait rapat dengan latar lokasi,kawasan,daerah dan wilayah.
Latar masa dan waktu

Masa atau waktu yang dilukiskan oleh pengarang dalam cerekanya. Hal ini berkait rapat dengan zaman, era, musim, ataupun pada waktu subuh, pagi, petang, dua tahun, kelmarin, lusa, dua bulan lalu, ataupun ketika dinihari, iaitu pagi-pagi benar, sebelum fajar menyinsing antara pukul tiga pagi hingga pukul lima pagi.

Latar Masyarakat


Cara kehidupan watak merangkumi latar belakang pendidikan, agamanya, kehidupan sosial atau masyarakat yang dianggotai, adat istiadat, peraturan yang diamalkan, cara bertindak, berkelakuan, berfikir dan fahaman atau kepercayaan watak serta segala hasil aktiviti dan penciptaan yang berupa fizikal dan kerohanian,tamadun ataupun pembangunan akal budi yang sengaja ditonjolkan oleh pengarang.

SUDUT PANDANGAN

Sudut pandangan ialah cara pengarang mengemukakan cerita atau kedudukan pencerita, iaitu sama ada dalam cerita atau di luar cerita.Terdapat empat jenis sudut pandangan iaitu:

1. Sudut Pandangan Orang Pertama
            
Penulis berperanan sebagai watak dalam cerita,iaitu sama ada watak utama atau watak sampingan dan menggunakan ganti nama diri orang pertama, iaitu “aku”, atau “saya”.

2. Sudut Pandangan Orang Ketiga Serba Tahu.
Penulis bertindak sebagai orang yang serba tahu tentang diri watak dan peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh watak-watak.Penulis perlu mengetahui secara terperinci tentang watak sama ada luaran mahupun dalaman.Watak utama menggunakan ganti nama diri orang ketiga, seperti “dia” atau menggunakan nama watak, seperti Annie, Salmiah , Abu dan sebagainya.

3. Sudut Pandangan Orang Ketiga Terbatas.

Penulis merupakan pencerita dari luar lingkungan watak-wataknya dan masih menggunakan kata ganti nama orang ketiga “dia”.Penulis tidak melibatkan diri secara langsung seperti dalam sudut pandangan orang pertama.Penulis boleh meresapi watak-wataknya tetapi tidak terperinci.

4. Sudut Pandangan Objektif

Penulis merupakan pelapor atau pencatat sahaja kepada sesuatu peristiwa. Namun begitu,penulis masih menggunakan kata ganti nama “aku’,’dia’ dan atau menggunakan nama watak. Penulis tidak mengeluarkan pendapat sendiri tetapi menggambarkan watak, kejadian dan peristiwa berdasarkan apa yang dilihatnya sahaja.

GAYA BAHASA

Gaya bahasa merujuk kepada cara seseorang pengarang menerapkan atau mengeksploit unsur bahasa dalam karyanya.Gaya bahasa yang digunakan untuk menonjolkan nilai estetika atau keindahan sesebuah karya yang digarap.

Aspek gaya bahasa

Pelbagai gaya bahasa boleh digunakan oleh pengarang untuk menghidupkan karyanya. Antara aspek gaya bahasa yang dapat dikesan dalam pelbagai genre Kesusasteraan Melayu yang diksi,dialek,bahasa asing,bahasa istana dan peribahasa.

Jenis Gaya Bahasa
  1. Gaya Bahasa perbandingan
  2. Gaya Bahasa perulangan
  3. Gaya Bahasa pertentangan
Gaya Bahasa Perbandingan:

Simile
Bermaksud perumpamaan yang jelas mengungkapkan perbandingan atau persamaan antara sesuatu sama ada orang atau benda dengan sesuatu yang lain.Gaya bahasa simile ditandai dengan penggunaan kata bagai, umpama, bak,seperti, laksana,macam,ibarat, dan sebagainya.
Contoh: pipinya bagai pauh dilayang

Metafora

Merupakan pemakaian kata yang menyatakan sesuatu makna atau maksud yang lain daripada makna biasa. Metafora juga bermaksud bahasa kiasan yang membandingkan secara terus,objek atau sesuatu yang bersifat abstrak dengan diberi sifat objek lain.

Contoh : Gunung harapan

Personifikasi

Merupakan unsur perorangan. Pengarang memberikan sifat manusia kepada benda(objek).Personifikasi juga bermaksud pemberian atau penyerapan manusia kepada benda tidak bernyawa atau sesuatu abstrak dan lain-lain untuk mendapatkan kesan seni.

Contoh: Daun kelapa melambai-lambai

Inversi
 
Unsur pembalikan susunan kata dalam ayat. Perkara ini dinyatakan juga sebagai songsang atau ayat songsang dalam hukum tatabahasa.

Contoh : Akan kupintal buih-buih

Gaya Bahasa Perulangan
  1. Anafora – Perulangan perkataan pada awal baris secara berturut-turut.
  2. Epifora – Perulangan perkataan pada akhir baris secara berturut-turut
  3. Responsif – Perulangan perkataan pada tengah baris secara berturut-turut.
  4. Simploke – Pengulangan seluruh kalimat berturut-turut 
  5. Andiplosif – Pengulangan akhir kalimat diulang semula pada awal baris.
  6. Repitisi – Tidak konsisten
  7. Asonansi – Pengulangan bunyi vokal
  8. Aliterasi – Pengulangan bunyi konsonan
  9. Pengulangan angka

Gaya Bahasa Pertentangan/Penegasan

Paradoks –  Bertentangan
Contoh : sedih dalam duka

Hiperbola  –  Ungkapan atau penyataan kiasan yang berlebih-lebihan atau sengaja dibesar-besarkan
Contoh : Dia meredah lautan api
Hybrid –   Gabungann dua perkataan
Contoh : matabatinku

Asindeton – gugurkan kata hubungan

Polisindeton – banyak kata hubung,
seperti “yang” dan “dengan”.

Onomatopie – meniru unsure bunyi.`

NILAI DAN PENGAJARAN

Nilai merujuk kepada nilai-nilai murni masyarakat.Kita dapat mengesan nilai-nilai murni yang terdapat dalam sesebuah karya sastera. Antara nilai tersebut termasuklah:
  1. Baik hati
  2. Berdikari
  3. Hemah Tinggi
  4. Hormat
  5. Kasih Sayang
  6. Keadilan
  7. Kebebasan
  8. Keberanian
  9. Patriotik
  10. Rasional
  11. Bersyukur
  12. Kebersihan
  13. Bertanggungjawab
PENGAJARAN

Dalam sesebuah karya sastera itu, terdapat beberapa pengajaran.Pengajaran merujuk kepada perkara-perkara yang boleh diteladani atau yang boleh dijadikan sempadan oleh pembaca atau pendengar sesebuah hasil karya sastera. Untuk menyatakan bentuk pengajaran, biasanya digunakan ungkapan yang berikut:
  • Kita hendaklah sentiasa menjaga hubungan baik dalam keluarga.
  • Kita seharusnya sentiasa bersedia menghadapi segala cabaran yang mendatang.

Tuesday 24 July 2012

TUGASAN PROJEK PSE 3102

INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS IPOH
TUGASAN PROJEK

TAJUK PROGRAM:
PISMP AMBILAN JANUARI 2011


NAMA GURU PELATIH:



TAJUK KURSUS:
PENULISAN KREATIF


SEMESTER:
4/2012



TARIKH MULA: 30 JULAI 2012 TARIKH HANTAR: 3 SEPTEMBER 2012

Hasil Pembelajaran Kursus :
  1. Melaksanakan prosedur penulisan berdasarkan input yang diberikan 
  2. Mengkaji proses utama dalam penulisan kreatif 
  3. Merancang dan mengurus aktiviti perbengkelan 
  4. Membaca karya-karya sastera 
  5. Menghasilkan tulisan sastera 
Kerja kursus ini bagi menilai hasil pembelajaran 1, 2, 4 dan 5

Objektif Projek:
Pelajar dapat melaksanakan tugas-tugas berikut:
  1. Menjelaskan prosedur penulisan berdasarkan input yang dibincangkan 
  2. Menulis dengan memuatkan elemen-elemen penting penulisan kreatif 
  3. Menyerlahkan bahan-bahan bacaan sastera dalam karya penulisan yang dihasilkan. 
  4. Menghasilkan tulisan kreatif dalam genre cerpen dengan memasukkan faktor-faktor penting pengkaryaan seperti tema dan persoalan, sudut pandangan, watak dan perwatakan, latar, gaya bahasa dan sebagainya.
  5. Penulisan cerpen turut memastikan nilai estetika yang tinggi serta mampu menyerlahkan kreativiti dan inovatif yang tinggi.
  6. Karya yang dihasilkan akan menyerlahkan tiga elemen penting karya kreatif iaitu emosi, imaginatif dan pemikiran. 
Tugasan Projek (100%)

Karya kreatif di Malaysia didominasikan oleh beberapa genre yang agak popular iaitu sajak, cerpen, drama dan novel. Penghasilan karya kreatif sebaik-baiknya berdasarkan penonjolan unsur-unsur tema, persoalan, watak, perwatakan, plot, dialog, sudut pandangan, latar dan sebagainya. Malahan karya kreatif mesti menonjolkan tiga elemen penting dalam pengkaryaan iaitu emosi, imaginatif, dan pemikiran. Selain itu, karya sastera mesti menonjolkan nilai estetika dan keindahan bahasa yang tinggi.

Berdasarkan pernyataan di atas hasilkan sebuah cerpen yang berkisar isu-isu pendidikan dengan memastikan sebagai sebuah karya mencerminkan keindahan karya kreatif.

Panduan Pelaksanaan Projek


1. Tugasan ini adalah tugasan individu.
2. Anda boleh bergerak secara kolaboratif untuk mengumpul data atau maklumat.
3. Format penulisan tugasan adalah seperti berikut :
    3.1. Muka depan hendaklah mengikut templet terkini
    3.2. Fon Arial
    3.3. Saiz huruf - 12
    3.4. Langkau 1.5 baris
    3.5. Rujukan mengikut format APA (American Psychological Association)
    3.6 Lampiran tidak diperlukan
    3.7. Jawab dalam Bahasa Melayu sahaja
4. Panjang tugasan antara 2,500 hingga 3,000 perkataan atau tidak melebihi 15 muka surat .
5. Rujukan tidak termasuk dalam jumlah pengiraan perkataan.
6. Amalan plagiat tidak dibenarkan.
7. Tugasan ini perlu disiapkan dalam tempoh empat hingga lima minggu.
8. Tugasan ini membawa markah 100% dan wajaran 50%.

Tugasan Yang Baik Harus Menunjukkan Kriteria Kriteria Berikut :
(mengikut kehendak soalan tugasan)


1. Liputan isi kandungan yang menyeluruh, konsisten dan terperinci.
2. Tugasan anda haruslah meliputi perkara berikut :
    a. Pengenalan yang menarik dan dapat memenuhi kriteria plot yang dirancang...........
    b. Perkembangan plot dinyatakan secara berurutan......
    c. Konflik dan perumitan menimbulkan pertentangan.......
    d. Peleraian dinyatakan dengan menarik....
3. Penggarapan unsur-unsur sastera disampaikan dengan nilai estetika yang tinggi.
4. Keseluruhan isi dan pengolahan perlu menunjukkan keaslian dengan bahasa yang menampakkan futuristik dan inovatif yang baik.
5. Isi penulisan perlu mendomainkan emosi,imaginatif dan pemikiran.
6. Penulisan cerpen harus menunjukkan kematangan bahasa yang puitis, laras bahasa yang sesuai dan tiada kesalahan ejaan dan kematangan pengolahan gaya bahasa sastera.
Disediakan oleh:                                                  Disahkan oleh:

(ABDUL RANI BIN HASSAN)                       (DR.SHAHARUDDIN BIN SHAARI)
Penyelaras Kursus Penulisan Kreatif                    Ketua Jabatan Pengajian Melayu
Jabatan Pengajian Melayu  IPG Kampus Ipoh      IPG Kampus Ipoh                                                         

ANALISIS CERPEN SAYANG ADIK SAYANG (J1)

Malam telah lama melabuhkan tirai kegelapannya. Malam gelap dan mencemuhkan. Adik masih terperosok diceruk dapur. Sesekali adik mengintai ayah makan. Kemudian ekor mata adik beralih kepada abang kemudian kepada Kak Long dan beralih pula kepada Kak Ngah. Ibu nampak adik menjongkol kepala. 

“Misah mari makan,”ajak ibu.

Cepat-cepat adik melarikan mukanya. Ayah mengerling kepada adik. Kepala adik terkulai dan merendah seperti kura-kura menyembunyikan kepalanya. Adik memang tidak pernah bertentang muka dengan ayah. Adik tidak pernah senyum dengan abang. Adik tidak pernah ketawa dengan Kak Long. Kak Ngah. 

Meja makan telah dibungkam sepi. Ayah, abang, Kak Long dan Kak Ngah telah beredar. Mereka melabuhkan punggung di ruang tamu menghadap televisyen. Cuma adik masih terperap di dapur. Ibu mengemas meja. Adik cepat-cepat keluar dari celah almari. Adik lincah menolong ibu. Adik angkat pinggan beri kepada ibu. Adik ambil gelas tamu menghadap televisyen. Cuma adik masih terperap di dapur. 

Ibu mengemas meja. Adik cepat-cepat keluar dari celah almari. Adik lincah menolong ibu. Adik angkat pinggan beri kepada ibu. Adik ambil gelas beri kepada ibu. Adik tersenyum. Ibu hanya memandang gelagat adik. Adik tarik-tarik kain ibu. Hanya ibu tempat adik bermain. Gembira sungguh adik bermain dengan ibu.

Adik bermain dengan ibu. Adik membebel dengan ibu. Adik mengadu dengan ibu. Kasih sayang adik untuk ibu. Ketawa riang adik untuk ibu. Senyum adik pun untuk ibu. Semua hak adik hak ibu. Adik kepunyaan ibu dan ibu kepunyaan adik. Tiba-tiba adik mencium pipi ibu. Ibu ketawa berdekah-dekah melihat keletah adik.

Ibu mendudukkan adik di kerusi. Ibu mencedok nasi dalam piring. Ibu tuang kuah atas nasih dan mengambil sepotong ikan goreng. Nasi diramas-ramas oleh ibu supaya sebati dengan kuah. Kemudian ibu mencubit secebis daging ikan dan disumbat bersama nasi. Ketulan nasi itu disuapkan ke mulut adik. Adik mengunyah-ngunyah nasi dengan senang. Selera adik cukup terbuka apabila ibu menyuap nasi. Adik untuk ibu dan ibu untuk adik. Adik makan nasi bersama ibu dan ibu makan nasi bersama adik. Adik sayang ibu dan ibu sayang adik.

Mulut adik dibasuh. Adik diajak tidur kerana malam semakin mengesot tua. Abang masih belajar di ruang tamu. Abang kini di Tahun Enam. Kak Long pun masih belajar. Kak Long di Tingkatan Satu. Kak Ngah tekun membaca. Kak Ngah pula di Tahun Lima. Adik pun sudah bersekolah. Adik sekarang Tahun Dua. Adik berbonceng dengan Kak Ngah ke sekolah. Adik bersekolah di sekolah abang dan Kak Ngah. Mula-mula ibu suruh abang bonceng adik. Tapi abang enggan. Nasib baik Kak Ngah sanggup.

Ibu mendodoi-dodoi adik supaya tidur. Adik tidur sebilik dengan Kak Long, abang dan Kak Ngah. Tapi adik tidur menyendiri dan terasing. Hanya ibulah melayan adik. Ibu menepuk-nepuk adik hingga terlelap. Adik memang awal tidur. Jarang-jarang adik menunggu abang dan kakak-kakak.

Esok fajar menyinsing lagi. Menyinsingnya fajar tidak boleh ditahan-tahan lagi. Fajar menandakan waktu untuk bangit dan menghadapi hari baru. Begitulah pusingnya hingga malam melabuhkan kegelapannya. Abang dan kakak-kakak terpaksa bangkit. Terpaksa mandi. Terpaksa bersiap, Terpaksa untuk ke sekolah. Bilik mandi Cuma satu. Bergilir-gilirlah abang dan kakak-kakak mandi.

Adik terjaga dari tidur. Dia mengenyeh-genyeh mata dengan belakang telapak tangan. Adik berjalan keluar dari bilik. Tuala mandi yang tersidai dicapai oleh adik. Berus gigi adik yang tergantung di tiang dapu juga dicapai adik.

Kena tunggulah adik hingga abang dan kakak-kakak selesai mandi. Adik mencangkung dekat dapur. Apabila ada yang keluar dari bilik mandi, adik mengesot sedikit. Adik merenung ibu yang sedang sibu di dapur. Adik berganjak ke tepi tingkap. Daun tingkap dikuak adik. Alam masih gelap segelap kopi yang dihirup. Adik tergesa-gesa ke bilik air apabila gilirannya tiba. Pagi begitu dingin. Beberapa timba air adik selesai mandi.

Suara ayah mersik apabila berazan. Abang dan kakak-kakak sibuk berwuduk. Ibu juga berwuduk sambil membantu adik berwuduk. Ibu mendidik adik agar berwuduk dengan sempurna. Ibu faham sempurna wuduk, sempurnalah solatnya. Adik menuruti sahaja cara ibu berwuduk. Kemudian ibu, adik, abang, Kak Long dan Kak Ngah menuju ke bilik solat. Ayah sudah menunggu di situ.

Adik selalu bersolat dengan berjemaah bersama-sama ayah, ibu, abang dan Kak Long dan Kak Ngah. Ayah meminta abang qamat. Abang berqamat dengan suara yang mersik juga. Kemudian ayah pun memulakan solat subuh hingga selesai. Setelah mengaminkan doa yang dilafaz ayah, ibu tergesa-gesa ke dapur untuk menghidangkan sarapan pagi.

Semasa bersarapan, adik masih seperti itu juga. Adik masih macam pagi semalam, kelmarin, kelmarinnya lagi, kelmarin kelmarinnya lagi, dan seperti dulu-dulu juga. Kelakuan adik yang menunggu setelah ayah, abang dan kakak-kakak selesai bersarapan dan baru adik bersarapan berulang lagi tanpa boleh dihalang-halang. Adik tetap akan terperosok di seruk almari. Ayah bergegas untuk bersiap. Abang dan kakak-kakak juga tergesa-gesa untuk bersiap.

Ibu meminta adik cepat-cepat bersarapan. “Nanti ketinggalan, “kata ibu. Adik makan cepat-cepat. Ibu membantu adik bersiap. Setelah siap berpakaian, ibu menyikat rambut dan membedak muka adik. Abang dan kakak-kakak ketawa apabila muka adik disapu bedak putih. Ibu memenarik muka. Abang dan kakak-kakak menutup mulut.

Kak Long naik kereta bersama ayah. Kak Long yang sudah bersekolah di bandar di hantar oleh ayah yang juga bekerja di bandar. Ayah bekerja di pejabat. Kata ibu ayah penolong pengurus. Abang mengayuh basikal ke sekolah. Adik membonceng dengan Kak Ngah ke sekolah. Adik diam sahaja ketika berbonceng dengan Kak Ngah.

Ibu berasa amat kejam sikap ayah. Membezakan kasih sayang antara anak sesuatu yang kejam. Mengapakah ayah berbuat begitu? Bukankah abang, kakak-kakak dan adik anak ayah. Anak ibu. Ibu hairan. Hairan sungguh dengan sikap ayah. 

Ibu tinggal seorang di rumah. Sibuk ibu ke sana ke mari. Basuh, bilas, jemur kain basah, masak, sapu rumah ibu lakukan dengan segera. Kerja ini rutin kehidupan. Ibu hafal kerja ibu seperti ibu hafal ayat fatihah. Lincah ibu bekerja ke sama ke mari. Ibu langsung tidak berasa penat melakukan kerja yang sama setiap hari. Ibu tahu ini tanggungjawab. Kerja ini tanggungjawab ibu dalam rumah tangga. Menguruskan rumah tanggungjawab ibu. Ibu tak boleh harap sesiapa. Ibu tak boleh harap ayah. Atau harap abang, Atau kakak-kakak. Apalagi adik. Ibulah yang kena urus. Ibulah yang korban. Ini kerja ibu, biarlah ibu yang buat.

Lagipun apalah sangat kerja urus rumah. Kerja hari-hari. Alah bisa tegal biasa. Ibu sudah lali kerja-kerja seperti itu. Kalau sakit pun ibu juga yang buat. Ibu tak pernah ambil cuti untuk kerja ini. Itupun masa bersalin ibu berehat. Ayah ambilalih tapi bukan sepenuhnya. 

Ayah mengupah orang gaji. Ayah pun cuti seminggu sahaja. Habis pantang ibu kembali ke rutin biasa. Ayah kalut sikit pun masa kelahiran Misah. Sebelum itu, Kak Long lahir. Abang lahir. Kak Ngah lahir. Semua ibu mertua ibu yang buat. Ayah beli sahaja apa yang nenek Misah minta. Tapi lahir Misah, ibu ayah pun kembali ke alam baqa. Kembali ke hadrat Allah S.W.T. Ayah tergamam. Ayah menghadapi kejutan.

Kadang-kadang ibu bernenung panjang memikirkan kelahiran Misah. Kelahiran Misah menyebabkan ayah kehilangan ibu. Malahan kelahiran itu seolah-olah tidak disenangi ayah. Kelahiran Misah bukan seperti kelahiran Kak Long. Kelahiran abang. Kelahiran Kak Ngah. Kebencian ayah menular kepada Kak Long. Abang. Kak Ngah. Ibu benar-benar kematian akal. Mengapakah? Mengapakah dalam hal Misah ayah begitu dungu walaupun ayah seorang graduan. Ibu benar-benar takjub dalam Misah ayah benar-benar dungu dan hodoh. Lagak kebodohan ayah itu sebati pula dalam diri Kak Long. Abang. Kak Ngah.

Adik memang tidak dimanjai ayah. Adik tidak dicumbui ayah. Apatah lagi didukung, diangkat, dimesra ataupun apa-apa sahaja. Seolah-olah adik tidak wujud di rumah. Seolah-olah adik hilang dalam kegelapan. Kemesraan ayah seperti dicabut jauh-jauh daripada adik. 

Seperti mencabut lalang di sawah padi. Ayah seolah-olah menyingkir adik dalam keluarga walaupun ayah tahu adik ialah darah dan daging ayah sendiri. Ayah lupa. Kasih sayang yang direnggut-renggut menjejaskan emosi adik. Pendiam, merajuk, cepat menangis dan menyembunyikan diri terbawa-bawa dalam diri adik. Kalau dahulu adik cuba berjinak-jinak dengan abang. Dengan kakak. Sekarang adik terus menjauhkan diri.

Ibu tak sampai hati melihat kasih sayang yang diabaikan. Ibu menangis mengenangkan diri adik yang disentak-sentak kerinduan ayah dari dalam dirinya. Ibu tanam kasih sayang dalam diri adik. Diakrabkan kemesraan. Disuntik kecintaan. Adik membesar dengan benih kasih sayang, mesra dan cinta ibu. Bagi adik ibulah ayah. Ibulah abang. Ibulah kakak. Ibulah rakan taulan. Ibulah kehidupan. Ibulah segala-galanya.

Tengah hari merangkak menyeliputi pagi yang berlalu. Matahari terpacak betul-betul atas kepala. Bahang kepanasan begitu terasa. Tentulah adik terkinja-kinja dengan kepanasan tengha hari. Ibu maklum. Benar-benar maklum adik akan pulang sebentar lagi. Ibu tahu abang dan kakak juga akan pulang.

Adik pulang juga dari sekolah. Seperti semalam, kelmarin, dan kelmarin dulu mata adik merah lagi. Bukan hari ini mata adik merah. Bahkan esok, lusa, tulat, tunggeng mata adik tetap akan merah. Ibu tidak payah bertanya. Ibu tahu mata adik merah. Ibu tahu sebab mata adik merah. Buat apa ibu bertanya. Semalam pun adik balik menangis. Kelmarin pun adik balik menangis. Dulu pun adik balik menangis. Apabila balik sekolah adik mesti menangis. Ibu akan terpa juga depan pintu. Belum bertanya adik telah bersuara.

“Kawan-kawan perli adik, bu.”

Ibu pun memanggung kepala adik. Ibu menyeka air mata adik. Rambut adik dibelai dengan lembut. Sambil membelai ibu mengusap-usap lembut belakang adik. Ibu memujuk-mujuk lembut adik. Akhirnya adik akan tersenyum juga.

Adik tergesa-gesa ke bilik menukar pakaian. Baju sekolah disidai dengan kemas di ampaian. Ibu menunggu adik di dapur. Seperti dulu-dulu juga ibu menghidangkan adik nasi makan tengah hari. Setelah selesai makan adik bermain-main di halaman rumah dengan girang. 

Adik berlari ke sana ke mari dengan riangnya. Adik cukup riang main seorang-orang di halaman rumah. Kekadang adik kejar rama-rama. Kekadang adik kejar pepatung. Hari berlalu begitu sahaja tanpa adik sedari. Itulah kerja adik. Bermain dan bermain. Bermain hingga letih seluruh badan.

Ayah pulang ataupun Kak Long pulang adik tidak pernah hiraukan. Sebagaimana ayah dan kakak yang tidak pernah menghiraukan adik. Ibu ajelah yang rajin-rajin menjenguk kepala melihat adik. Kadang-kadang ibu ketawa melihat tingkah laku adik yang cukup nakal itu.

Hamparan petang mula mengamit perjalanan masa. Petang serasa indah dan nyaman. Banyak serangga yang terbang dan hinggap di bunga yang merah berwarna. Seekor pepatung hijau hitam ekornya hingga di dedaun kehijauan yang panjang dan lebar. Adik terhendap-hendap cuba menyentuh ekornya. Baru sahaja tangan adik tersentuh pepatung terbang melarikan diri. Adik melompat-lompat keriangan. Tangannya ditepuk-tepuk kerana berasa cukup gembira dan terhibur.

Segala kesedihan adik berarak bersama mega petang keriangan. Kedukaan yang membungkam terlerai bersama keriangan petang yang mendamaikan. Keriangan timbul akibat berhibur dengan pergerakan petang. Kegembiraan bersarang dengan pengamatan flora dan fauna yang merangsang.Segala kenangan adik hilang dipenuhi kedamaian. 

Adik selalu memikir biar hanya hari itu bergerak dengan petangnya sahaja. Tiada pagi, tiada tengah hari, dan tiada malam. Tapi itu tidak mungkin terjadi. Adik cukup memahami petang akan berarak diseliputi malam dan malam berlalu dengan menyinsingnya fajar dan faja berarak diselubungi tengah hari dan tengah hari kembali kepada petang yang berwarna-warni. Begitulah edaran masa yang tetap berpusing mengikut ketentuannya.

Kehadiran senja mula meluputkan petang. Awam bertompok kemerah-merahan mula menyelubungi hamparan langit. Ibu memanggil adik untuk mandi. Adik berlari-lari masuk ke dalam untuk mandi. Cepat sungguh adik mandi. Setelah siap mandi adik salin pakaian bersih kemudian adak muncul di dapur. Adik minum air teh kosong yang selalu ibu sediakan bersama-sama biskut tawar. Adik gigit sekeping biskut tawar sambil minum air teh kosong.

Selesai minum adik keluarkan buku untuk belajar. Adik menyelerakkan semua buku atas lantai. Berselerak buku adik bertabur di lantai. Adik mencari buku latihan untuk menyelesaikan kerj rumah yang dibekalkan guru. Cepat-cepat adik menyudahkan latihan yang diberi oleh guru. 

Mana-mana yang adik tidak faham, adik lari-lari ke arah ibu. Ibu pula bawa buku itu diunjuk kepada ayah. Ayahlah yang membantu dalam soal pelajaran tetapi dengan perantaraan ibu.Ibu pun tidak menunggu adik menyelesaikan kerja rumah. Ibu segera ke dapur kerana kerja dapu masih melambak.

Hari pun sudah larut malam. Adik seperti selalu masuk tidur awal. Ayah, ibu, kakak dan abang masih belum tidur. Denting jam dua belas semua telah tidur nyenyak. Malam mula diserkup pagi tiba-tiba berlaku keriuhan dalam rumah. Adik masih belum bangun. Adik yang tidur tidak berbaju sukar dilihat dalam malam yang gelap.

Ayah, ibu, kakak-kakak dan abang dihimpun di ruang tamu. Lampu dipadamkan. Keadaan begitu gelap gelita. Adik keluar perlahan-lahan dari bilik. Tidak ada sesiapa yang nampak adik dalam kegelapan malam itu. Adik nampak ada seorang lelaki mengacukan pisau kepada ayah, ibu, kakak-kakak dan abang.

Adik merangkak-rangkak perlahan.Dengan siku dan lutut ditekan ke lantai adik membongkok di belakang lelaki yang mengacukan pisau. Ayah sedar yang adik ada membongkok di belakang. Tiba-tiba ayah terpa dan tolak pemuda tersebut. Dia terjatuh ke belakang akibat dihadang tubuh badan adik. Dengan segera ayah menumbuk dan mengikat tangan lelaki yang masuk menceroboh dengan niat untuk mencuri itu.

Sebelum ayah mengheret lelaki itu ke balai polis ayah menghampiri adik. Ayah memeluk adik dengan erat-erat. Ibu, Kak Long, abang dan Kak Ngah hanya melihat air mata ayah menitis membasahi tubuh anaknya yang bertambah gelap di malam gelita. Ayah terus berlalu dengan lelaki tersebut diheret bersama.

Wednesday 18 July 2012

Syair Rakan Seperjuangan IPG

Isteri Setia

Seorang wanita bernama isteri,
Berhati mulia berbudi tinggi,
Setiap masa memberi bakti,
Penat dan lelah korbankan diri.

Suami tercinta duduk di hati,
Melayan mesra panahan sakti,
Kasih dan sayang hambatan diri,
Marah suami tak ambil peduli.

Benihan suami pengikat raga,
Zuriat dikandung berbunga bangga,
Segala perih diluput mega,
Sabar dan setia menunggu siaga.

Anak dan suami pemangkin rasa,
Tak sedar hati edaran masa,
Luka dan guris disimpan sasa,
Membesar anak penuh berjasa.

Panorama alam turut ceria,
Meraikan bersama hati yang ria,
Tampak gembira wajah sidia,
Mengharum nama isteri setia.


Bahaya Fitnah

Sejarah Melayu teladan utama,
Bahaya fitnah sudah menjelma,
Si Kitol, Mendeliar turut sama,
Difitnah Bendahara busuklah nama.

Puteri Mahsuri menjadi legenda,
Akibat fitnah datang melanda,
Menagih simpati berkocak dada,
Dara putih menjadilah tanda.
Sejarah lama berulang kembali,
Lupa manusia akibat lali,

Ketinggian budi sudah dibeli,
Menggadai maruah bukan sekali.
Ingatlah manusia akan fitnah,
Banyak negara sudah musnah,

Ingatlah diri dari tanah,
Banyak fitnah umpama nanah.
Sejarah tidak menipu kita,
Peganglah janji pada kata,

Supaya tidak hidup melata,
Jalanlah tinggi menjadi rata.
Fitnah tidak diluput masa,
Bertakhta dalam jiwa yang sasa,

Berwaspada beringat jaga sentiasa,
Agar tidaklah musnah bangsa.
Martabat Ilmu


Kisah Teladan Musa dan Khidir

Kisah Musa dan juga Khidir,
Kisah teladan bukan menyindir,
Bukan menentu siapa Pandir,
Cuma menyubur hati yang hadir.

Musa disoal oleh umat,
Siapakah bijak penuh maklumat,
Musa menjawab penuh tersemat,
Mengaku diri terlebih amat.

Ditempelak Allah penunjuk diri,
Jangan mengaku diri sendiri,
Jangan memilih jalan yang kiri,
Lihat kewujudan dalam nafiri.

Khidir diangkat menjadi guru,
Mengembara mereka seolah berburu,
Dipesan Khidir jangan terburu,
Jangan dihirau segala seru.

Musa terbilang sebagai rasul,
Kapal dilubang membuat sasul,
Hairan Musa semakin masyghul,
Dipesan Khidir jangan berusul.

Takjub dan hairan semakin menyerang,
Melihat bayi dibunuh kepalang,
Tindakan dilihat tidak beralang,
Hatinya risau semakin walang.

Sabar menjadi semakin nipis,
Bantuan diminta semua ditepis,
Khidir menunjuk muka yang manis,
Mendiri Kota menjadi tragis.

Masa berpisah sudahlah tiba,
Ilmu diberi tiadalah laba,
Sukar ditafsir segala dicuba,
Dijawab Khidir seakan tertuba.

Kapal dirosak bukan sengaja,
Takut dirampas kezaliman raja,
Semua menjadi ujian sahaja,
Terselamat Si Miskin pedaya raja.

Bayi dibunuh bukannya alpa,
Menyelamatkan iman ibu dan bapa,
Kecil menjadi idaman betapa,

Besar membawa kekufuran nestapa.
Manusia dinilai bukan luaran,
Layanan kasar bukan dihairan,
Memelihara harta menjadi sandaran,

Agar Si Yatim tidak kebuluran.
Faham Musa hakikat ilmu,
Semakin ada tidak bertemu,
Merendah diri janganlah jemu,
Anggaplah diri sebagai tetamu.

Pengenalan

Apa karya kreatif

Penulisan kreatif adalah apa saja, di mana penulisnya menggambarkan buah fikir, gejolak perasaan, daya imaginasi dan daya kreaviti yang tentunya unik apabila penulis menceritakan dari pengalamannya yang tersendiri - bukan sebaliknya hanya melaporkan peristiwa ataupun berita. Penulisan kreatif digarap dengan bahasa yang segar, menyusunan ayat yang indah lagi mencabar, dan berunsur murni.

Penulisan Kreatif

Penulisan adalah suatu bentuk kebebasan untuk setiap insan yang menulis. Membebaskan kita daripada identiti massa yang kita lihat di sekeliling kita. Penulis akan menulis bukan untuk menciptakan hero/watak utama. Penulis tidak melanggar nilai murni sejagat, tapi untuk menyelamatkan diri sendiri - untuk kelansungan hidup sebagai individu.

Penulisan, biar dalam genre apa sekali pun, memang agak sukar, tapi berbaloi - anda akan mendapat keputasan yang tiada taranya, setiap kali sesebuah karya itu selesai digarap. menjadi seorang insan kreatif kadangkala agak sukar, mencabar pada ketika-ketikanya, tp juga menyeronokkan.

Bagaimana Hendak Memulakannya?

Betulkah, seperti tanggapan ramai, bahawa jika seseorang itu sudah membaca banyak cerpen ataupun novel, mereka sudah boleh menghasilkan sebuah karya penulisan kreatif?

Ada ramai juga yang percaya; oleh kerana kebanyakan daripada kita `petah di dalam minda' dan bukan buta huruf, maka tidak perlu ada tempoh percubaan jika kita mahu memahirkan diri dalam pertukangan penulisan kreatif. Ramai yang berfikir begitu, sehinggalah dia cuba menghasilkan novel pertamanya. 

Seperti sebuah perabot, mempunyai keperluan tertentu, syarat pembinaannya yang perlu dipelajari (merancang, mengenal pasti stye dan jenis kayu yang dikehendaki, menyukat, menggergaji-bentukkan, menukul-pakukan, membarnish-kilatkan dan sebagainya). Hanya kerana telah membaca ratusan atau ribuan novel, tidak bermakna kita boleh terus menghasilkannya sendiri - sama juga macam kita sudah duduk di atas banyak kerusi, tidak bermakna kita semua boleh buat kerusi, bukan?


Bagaimanapun, jika anda ingin sekali menghasilkan karya tanpa sebarang panduan daripada yang lebih mengetahui caranya, tak salah kiranya kalau mencuba; tapi janganlah terlalu kecewa, andainya usaha pertama anda tidak sebaik yang anda harapkan. Sama juga macam seorang tukang kayu yang mungkin mendapati kerusi pertama yang ditukanginya, tidak sesempurna yang diharapkan. 

Mungkin kaki kerusi itu bergoyang2 atau tempat melabuh punggung di kerusi itu senget sebelah. Banyak buku-buku yang cenderung membina penulis2 baru . Seeloknya anda baca buku2 itu dihasilkan oleh mereka yang benar2 giat menulis, samada cerpen ataupun novel, kerana anda mahukan pengalamannya sebagai seorang cerpenis dan novelis. Selain daripada mendapatkan tips daripada penulis2 berpengalaman - saya, misalnya.

Sebelum menghasilkan novel, saya cadangkan anda memulakan karya yang ringan sedikit. Menghasilkan cerpen dahulu. Apabila anda sudah menghasilkan cerpen, anda sebenarnya sudah boleh menulis novel. Untuk novel pertama dan kedua, elok juga anda memulakan dengan penulisan yang ringan sedikit juga. Misalnya, novel kanak-kanak dan remaja - sekadar untuk mendapatkan pengalaman. Selepas siap (tak payah tunggu terbit, asal dapat kelulusan pun ok) saya yakin anda sudah punya cukup keberanian untuk mengorak lang dan menghasilkan novel dewasa pula. Untuk menghasilkan novel dewasa pertama - nanti kita boleh bincang, ok?

Namun, andainya anda akhirnya hanya termenung berjam-jam, menatap skrin komputer yg tidak memaparkan apa2 pada muka surat ms worda anda tu, kenapa tulis saja idea/cerita yang anda fikirkan hingga menggerakkan menghampiri komputer anda sebelumnya. Ini adalah sebagai satu latihan ringkas, mengarah kepada penulisan yang sebenarnya. 

Jangan terlalu memikirkan tentang tata bahasanya, jalan ceritanya, watak2nya, suasananya ataupun mutu penulisannya (kerana anda belum lagi mahu menghantar manuskrip anda kepada pihak penerbit ketika ini kan?). Bila anda sudah dapat melihat idea atau ilham cerita anda di dalam bentuk `hitam/putih', ia akan memberikan anda semacam semangat untuk memikir-kembangkan cerita anda itu dalam bentuk novel.